Itali pun tidak mampu hadap ‘lock down’ lagi, apatah lagi Malaysia

0
179

Sejak PKP berkuat kuasa pada Mac lalu banyak industri terjejas teruk dan terpaksa membuang pekerja

HARI ini sebanyak 691 kes Covid-19 dilaporkan di seluruh negara. Angka tertinggi pernah dicatatkan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Namun begitu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi amaran bahawa angka itu dijangka meningkat lagi berikutan ujian saringan secara lebih agresif dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan termasuk di penjara dan pusat tahanan.

Situasi ini sudah pastinya mendatangkan kerisauan kepada rakyat kerana gelombang baharu ini betul-betul lebih ganas daripada gelombang pertama dahulu.

Dalam Perutusan Khas oleh Perdana Menteri petang tadi, ramai berharap tindakan tegas diambil oleh kerajaan dan tidak kurang juga yang meminta supaya PKP 2.0 dilaksanakan semula.

Bagaimanapun telahan banyak pihak bahawa PKP 2.0 akan dilaksanakan jauh tersasar, Perdana Menteri menegaskan tiada ‘total lock down’ yang akan dibuat, yang ada hanya PKP Bersasar di kawasan zon merah.

Sekali pandang ramai yang tidak berpuas hati dengan langkah ini, namun jika dilihat kepada impak pada ekonomi dan sosial negara, langkah kurang popular ini terpaksa diambil.

Dengan jumlah 15 juta pekerja di seluruh negara, jika PKP 2.0 dilaksanakan sudah pasti golongan ini paling berisiko tinggi kehilangan pekerjaan.

Ekonomi negara akan runtuh, sekarang pun banyak kedai dan premis perniagaan terpaksa menutup operasi. Industri pelancongan termasuk perhotelan dan penerbangan antara yang terjejas teruk.

Jika dilihat negara maju lain, mereka juga tidak mampu lagi melaksanakan lock down dan terpaksa membiarkan sektor ekonomi berjalan seperti biasa dengan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Misalnya, United Kingdom (UK), Sweden, Amerika Syarikat (AS) dan lain-lain. Mereka sudah tidak mempercayai lock down mampu menyelesaikan masalah sebaliknya mereka kini mengenakan lebih banyak sekatan atau pun larangan.

Malah, Itali iaitu negara keenam mencatatkan kes kematian paling tinggi akibat Covid-19 juga tidak akan berpatah balik melaksanakan lock down seperti April lalu, meskipun pada Sabtu lepas sebanyak 2,844 kes positif dicatatkan.

Menurut Menteri Kesihatan Itali, Roberto Speranza, sekiranya perintah berkurung ini dilaksanakan ia sudah pasti memberi kesan kepada sektor ekonomi, budaya dan sosial yang mana kerajaan Itali tidak mampu lagi menanggungnya.

Jika negara-negara maju yang mencatatkan kes paling tinggi di dunia pun sudah tidak dapat melaksanakan lock down, apatah lagi Malaysia.

Apa yang boleh kita semua lakukan sekarang ialah patuhi SOP ditetapkan, jika pernah pergi ke zon merah, sila kuarantin diri sendiri selama 14 hari.

Jika kita tidak sayang diri sendiri pun dengan tidak mahu menjalani proses kuarantin, sekurang-kurangnya prihatinlah kepada kanak-kanak kecil yang berada di bangku sekolah.

Adakah kita seronok lihat anak kecil ini menangis apabila dijolok hidungnya? Kalau gembira lihat situasi demikian, mungkin ada wayar mana-mana yang putus. Lebih baik berjumpa ‘pakar berkenaan’ dengan segera.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here