Jadikan Sabah sebagai pengajaran, tidak perlu adakan lagi PRU

0
73
PRN Sabah baru-baru ini menyebabkan penularan wabak Covid-19 menjadi lebih teruk

DUA tiga hari ini bermacam-macam kisah politik mendominasi kehidupan seharian semua orang.

Buka mata saja cerita politik, sebelum lelap pun masih dihidangkan dengan politik.

Politik, politik, politik! Bagi orang kebanyakan pasti jemu dengan cerita perebutan kuasa tanpa kesudahan ini tapi bagi politikus lain pula. Kuasa adalah segala-galanya. Walaupun mereka akan membantah dengan pelbagai hujah, tapi inilah hakikatnya.

Dengan kuasa semua benda boleh buat, tanpa kuasa memang semua akan terkulat-kulat.

Bagaimanapun, di sebalik drama perebutan kuasa ini, ada pihak yang menanti dengan penuh debar sambil mengurut dada. Siapa lagi kalau petugas barisan hadapan.

Kalau kita sebagai rakyat biasa pun sudah bimbang dengan angka yang mencanak naik, bayangkan pula petugas di hospital kerajaan yang setiap hari terpaksa berhadapan dengan pesakit Covid-19 dan lebih merisaukan merekalah golongan paling berisiko tinggi dijangkiti wabak ini.

Di celah-celah kebimbangan ini, kini timbul pula cadangan supaya Parlimen dibubarkan untuk membolehkan pilihan raya umum diadakan.

Seperti tidak belajar daripada kesilapan yang berlaku ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang menyebabkan ribuan kes baharu muncul, masih ada pihak yang tidak boleh hadam nasihat seperti ini.

Sedangkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah sendiri pernah sebut supaya jadikan pengajaran di atas apa yang berlaku di Sabah.

Malah, hari ini sekali lagi beliau sebut perkara yang sama ketika sidang akhbar harian Covid-19.

Adakah politikus tidak melihat sidang akhbar ini? Atau tidak membaca berita yang dilaporkan?

Adalah sangat menyedihkan jika berita penting seperti ini tidak dapat diterjemahkan dalam kelakuan politikus-politikus ini. Apa guna semua bergaduh berebutkan kuasa yang akhirnya menyebabkan rakyat merana.

Sebelum ini pun kerajaan Perikatan Nasional (PN) disanjung kerana berjaya mengawal penularan Covid-19 tapi selepas PRN Sabah keadaan sebaliknya berlaku. Masing-masing menuninding jari kepada pemimpin PN.

Daripada hero kini hampir menjadi zero. Kalau PRU mengejut diadakan, usah terkejut kalau kalah bertanding nanti. Sebab apa? Sebab rakyat sudah meluat melihat tingkah laku mereka yang gilakan kuasa.-MamuHaria

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here