Jaminan Harga Terendah di Malakat Grocer bermula minggu depan

0
424
Malakat Grocer 812 yang merupakan rangkaian pasar raya utama milik Malakat Mall. FARIDJANUDIN/MT

CYBERJAYA – Malakat Grocer 812 akan menawarkan jaminan harga terendah bagi produk-produk berjenama utama kepada para pelanggan termasuk pulangan semula harga perbezaan sekiranya barang dibeli lebih mahal berbanding pasar raya lain.

Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim berkata, melalui kempen Jaminan Harga Terendah itu, Malakat Grocer 812 menggerakkan Pasukan Integriti Harga yang akan memantau dan memastikan harga barangan dijual lebih murah atau sama dengan harga pasar raya lain dalam radius 10 kilometer dari Malakat Mall.

“Sebagai menghargai penyokong-penyokong perjuangan Malakat Mall, kami memberi jaminan bahawa pelanggan tidak perlu risau tentang harga kerana kami berikan harga terbaik.

“Kempen Jaminan Harga Terendah ini akan dilaksanakan dalam masa terdekat, insyallah selewat-lewatnya seminggu dari sekarang,’’ katanya kepada Malakat Tribune, di sini. 

Mohd Fadzil Hashim. – FARIDJANUDIN/MT

Mengulas lanjut, Mohd. Fadzil  atau lebih dikenali sebagai Coach Fadzil berkata, tawaran harga sama atau lebih rendah itu melibatkan produk jenama utama yang terdapat di kebanyakan pasar raya.

“Sudah tentu ia adalah perbandingan apple-to-apple (barang yang sama) kerana (selebihnya) di Malakat Grocer ini kami mempunyai kira-kira 6,000 produk industri kecil dan sederhana (IKS) tidak dijual di pasar raya lain.

“Untuk kempen ini, produk yang terlibat adalah seperti makanan, minuman, produk mandian, pencuci, beras, minyak, susu dan sebagainya,’’ katanya.  

Selain jaminan harga rendah katanya, Malakat Grocer juga menawarkan ‘pulangan’ semula harga perbezaan sekiranya pelanggan dapat membuktikan harga barang yang dibeli di Malakat Grocer lebih mahal berbanding di luar.

“Kita akan pulangkan beza harga dengan syarat pelanggan dapat mengemukakan bukti melalui resit, risalah, poster atau sebagainya,’’ katanya.

Menurut beliau, kempen yang sama juga ditawarkan kepada pelanggan di Malakat Grocer Taman Putra Perdana, dekat sini berserta pelbagai lagi kelebihan.

Antaranya adalah peluang membeli ayam pada harga promosi RM10 seekor (terhad seekor setiap pelanggan). 

Selain itu menurut Coach Fadzil, pelanggan yang lebih selesa berbelanja secara dalam talian turut ditawarkan khidmat penghantaran dalam radius 70 kilometer dari Malakat Mall. 

Untuk mendapatkan kemudahan penghantaran itu, orang ramai boleh melayari laman web www.malakatgrocer.com

Para pengunjung membeli barangan di Malakat Grocer 812. – FARIDJANUDIN/MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here