Kakitangan awam dan swasta bahagian pengurusan mula bekerja dari rumah bermula Khamis

0
199
Ismail Sabri Yaakob.

CYBERJAYA – Pekerja bahagian pengurusan dalam sektor awam dan swasta diarahkan bekerja dari rumah bermula Khamis ini dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) berkenaan situasi semasa Covid-19 dalam sidang khas Majlis Keselamatan Negara dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

“Sidang Khas MKN hari ini bersetuju agar pekerja-pekerja bagi sektor awam dan pekerja swasta di peringkat pengurusan dan pengawasan tidak perlu hadir ke pejabat dan hanya bekerja dari rumah (Work From Home).

“Dulu saya katakan kita menggalakkan, sekarang kita bukan menggalakkan lagi, kita mengarahkan.

“Pelaksanaan itu akan melibatkan kira-kira 800,000 pekerja sektor industri dan 200,000 penjawat awam dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Selangor dan Sabah,” katanya dalam sidang media petang ini.

Langkah itu katanya adalah sebagai langkah memperketatkan kawalan aktiviti pergerakan keluar masuk melibatkan kawasan ini di negeri terbabit.

Bagaimanapun katanya, pengecualian diberikan bagi proses kerja
yang memerlukan keberadaan di pejabat seperti bahagian yang terlibat dalam urusan kewangan yang membuat bayaran, pengurusan, penguatkuasaan dan kebajikan.

“Oleh itu, pihak majikan diarah untuk mengeluarkan surat pelepasan perjalanan bagi setiap kakitangan yang terpaksa bekerja di pejabat sepanjang tempoh ini.

Pekerja yang tinggal di kawasan zon merah pula perlu melakukan swab test dan jika pihak majikan mencarum dengan PERKESO, kos akan ditanggung,” katanya.

Pelaksanaan arahan itu akan berkuatkuasa sehingga pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Selangor dan Sabah tamat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here