Lebih 10,000 anggota PDRM telah dikuarantin

0
118
Hamzah Zainudin

KUALA LUMPUR – Risiko terdedah kepada jangkitan Covid-19 dan jumlah yang besar terlibat arahan kuarantin dalam kalangan anggota polis membantutkan keupayaan tugasan harian pasukan itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, sehingga kini lebih 10,000 pegawai dan anggota polis telah dikuarantin dan sekurang-kurangnya 200 lagi sedang dirawat akibat positif Covid-19.

Hamzah berkata, walaupun bertugas dengan memakai pelitup muka, tugas anggota polis memerlukan mereka berkomunikasi secara dekat dengan orang ramai tanpa dapat mengamalkan penjarakan sosial dengan sempurna.

“Penularan wabak Covid-19 semakin membimbangkan dan ramai petugas barisan hadapan telah terdedah dengan risiko jangkitan wabak tersebut.

“Pasukan polis adalah petugas barisan hadapan berpotensi besar terdedah kepada wabak Covid-10 kerana mereka berada paling hampir dengan rakyat, yang belum dipastikan tahap jangkitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau menyeru rakyat Malaysia supaya lebih
menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan dan bersama-sama melawan wabak Covid-19.

Menurut beliau, penghargaan tertinggi harus diberikan kepada PDRM kerana sejak penularan wabak itu, ramai dalam kalangan anggota polis yang telah berjuang tanpa menghiraukan penat lelah.

“Ramai juga antara mereka yang masih belum pernah berehat atau meluangkan waktu bersama keluarga. Kita sedang ketandusan masa dan sekarang bukan waktu untuk berpolitik atau melobi sokongan terhadap individu tertentu menjadi Perdana Menteri,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here