LHDN umumkan tarikh akhir pengemukaan BNCP kekal

0
23288
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menetapkan tarikh akhir bagi pengemukaan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) untuk tahun taksiran 2019 dan 2020 kekal seperti yang termaktub dalam Program Memfail Borang Nyata Tahun 2020 (Pindaan 3/2020).

LHDN dalam satu kenyataan berkata, ia termaktub bagi pembayar cukai kategori syarikat, koperasi, perkongsian liabiliti terhad, badan amanah dan petroleum.

“Program itu telah dikemaskini pada 28 April lalu dengan turut mengambil kira kesan penularan wabak Covid-19 terhadap operasi perniagaan pembayar cukai dan semua penyedia perkhidmatan percukaian profesional.

“Tambahan masa untuk mengemukaan BNCP selama dua dan tiga bulan telah diberikan secara automatik kepada kategori pembayar cukai yang layak,” katanya hari ini.

Menurut kenyataan itu, program tersebut boleh diakses dan dimuat turun dari portal rasmi LHDN di www.hasil.gov.my atau melalui pautan http://lampiran1.hasil.gov.my/pdf/pdfam/ProgramMemfailBN_2020_Pin.3_1.pdf.

“Bagi pembayar cukai yang tidak dapat mengemukakan BNCP dalam tempoh yang telah ditetapkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) atau Perintah Kawalan Pergerakan Bersasar, permohonan lanjutan masa tambahan boleh dikemukakan kepada LHDN,” katanya.

Menurut LHDN lagi, permohonan tersebut hendaklah dibuat secara bertulis dan dialamatkan terus kepada cawangan LHDN yang mengendalikan fail cukai mereka.

Katanya, setiap permohonan yang diterima akan diteliti berdasarkan merit kes dan keputusan permohonan akan dimaklumkan kepada pemohon.

Ujarnya, sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh diajukan kepada LHDN
melalui Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara).

Selain itu, orang ramai juga boleh menghubungi di HASiL Live Chat dan menerusi Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDNM di pautan pantas
https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here