Maritim rampas rokok, penyeludup terjun laut lolos

0
40
Maritim Malaysia menunjukkan sebahagian daripada rokok bernilai RM16,000 yang berjaya dirampas semalam di Pulau Silungun.

𝗦𝗘𝗠𝗣𝗢𝗥𝗡𝗔 – Maritim Semporna berjaya menggagalkan cubaan menyeludup rokok dianggarkan bernilai RM16,000 dalam operasi di Pulau Silungun sekitar jam 6.30 pagi semalam.

Pengarah Maritim Zon Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, nilai keseluruhan rampasan rokok bersama bot adalah kira-kira RM27,520.

Beliau berkata, dalam rondaan Ops Sejahtera yang dilakukan, anggota Maritim Malaysia terserempak dengan sebuah bot enjin sangkut dalam keadaan mencurigakan.

“Sebaik suspek menyedari kehadiran pihak berkuasa, pemandu bot bertindak terjun ke laut meninggalkan bot dan meloloskan diri,” katanya dalam hantaran di Facebook agensi berkenaan.

Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut membawa muatan rokok pelbagai jenis dalam tujuh bungkusan beg plastik hitam yang mengandungi 69 karton rokok putih pelbagai jenama.

“Kesemua rokok dirampas berserta sebuah bot tanpa nombor pendaftaran dan sebuah enjin pam 15 kuasa kuda jenama Yamaha.

“Kita percaya sindiket ini bermula di negara jiran dan menyeludup masuk rokok ke Sabah menggunakan jalan air untuk dipasarkan ke pasaran tempatan,” ujar Norrimi.

Norrimi berkata, rampasan itu merupakan tangkapan pertama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan pada awal bulan ini melibatkan kes di bawah Akta Kastam 1967 bagi Zon Maritim Semporna.

Bot enjin sangkut yang digunakan untuk penyeludupan rokok di Semporna.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here