MAS teruskan misi bawa pulang rakyat di luar negara

0
41
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Malaysia Airlines Bhd (MAB) sehingga kini telah membawa pulang lebih 20,000 rakyat negara ini yang terkandas di luar negara ke pangkuan keluarga masing-masing.

Usaha itu turut membuka peluang kepada syarikat penerbangan nasional itu melakukan penerbangan ke bandar-bandar baharu di luar rangkaian penerbangan syarikat itu.

serata Asia, Timur Tengah, Eropah, serta Afrika seperti Cam Rahn, Sudan Selatan, Kaherah, Turmenbashi, Turkmenabat, Dili, Nadi dan poert Meresby yang tidak banyak menawarkan penerbangan komersial.

Setakat ini, MAB telah menjalankan sebanyak 218 penerbangan menyelamat dan membawa pulang mereka yang terbabit menerusi perkhidmatan berjadual dan sewa khas sejak Mac 2020 menggunakan pesawat jenis A380, A350, A330-300 dan B737-800.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan MAB, Ahmad Luqman Mohd Azmi berkata, ini termasuk 168 khidmat sewa khas menerusi kerjasama strategik dengan kementerian-kementerian dan pertubuhan.

“Pengalaman sedemikian mencabar namun menarik kerana membolehkan kami beroperasi di pasaran-pasaran baharu dalam keadaan semasa yang memerlukan aspek keselamatan dan kesihatan serta kawalan sempadan lebih ketat di negara-negara terbabit.

“Bagaimanapun, libat urus secara aktif dengan kedutaan-kedutaan, kementerian, agensi kerajaan, pertubuhan dan pihak pengawal seliaan telah membolehkan misi itu dapat disempurnakan,” katanya dalam kenyataan dipetik Bernama hari ini.

Bagi tempoh sama, syarikat sekutunya, MAB Kargo Sdn Bhd telah bekerjasama dengan kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk mengangkut lebih 2,000 tan peralatan perubatan dan keperluan bantuan bencana ke wilayah-wilayah terjejas di serata dunia.

“Ini termasuk ventilator, sarung tangan pembedahan dan baju perlindungan diri untuk pelbagai pertubuhan menerusi lebih 50 penerbangan P2C (penumpang berbanding kargo) dan CIC (kargo dalam kabin).

“CIC itu membolehkan syarikat penerbangan membawa kargo di tempat duduk, ruang simpanan atas, almari dan ruang bawah kerusi, bergantung kepada saiz kotak,” katanya.

Pasukan MABkargo juga telah berusaha bagi memastikan semua penghantaran tersebut dihantar mengikut jadual, sekali gus mencatat peningkatan secara berperingkat dari segi angka eksport syarikat itu.

Aliran yang menggalakkan itu turut meningkatkan jumlah berkaitan yang mana angka pada Ogos lepas kini setara dengan paras sebelum Covid-19, didorong oleh pembukaan semula lebih banyak sektor ekonomi dan penggunaan khidmat penerbangan P2c bagi menampung kehilangan kapasiti ruang simpanan dalam perut pesawat.

Ahmad Luqman berkata permintaan terhadap keperluan perubatan di serata dunia juga turut menyumbang dari segi memastikan pesawat MAB terus beroperasi dan terminal kargo terus aktif.

“Jadual penghantaran kami diselaraskan untuk menepati keinginan pelanggan. Walaupun jumlah penerbangan dalam rangkaian berkurangan, kami terus menyokong rantaian nilai perniagaan harian selain memastikan gangguan dapat diminimumkan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here