Pak Long gesa rakyat Malaysia tidak berputus asa lawan Covid-19

0
82
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

CYBERJAYA – Di sebalik kritikan dan cemuhan pelbagai pihak yang kecewa dengan tindakan lewat kerajaan dalam menangani kenaikan kes Covid-19, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tetap mengambil positif setiap pandangan yang diberikan.

Menteri Kanan (Keselamatan) itu berkata, setiap pandangan diberikan diambil maklum dalam melaksanakan yang terbaik untuk semua.

“Pak Long baca semua komen dan ulasan di Facebook, Twitter dan Instagram Pak Long.

“Pak Long ingin ucapkan terima kasih kepada semua yang memberi pandangan. Pak Long ambil pendapat kalian semua di sudut pandang yang positif dalam melaksanakan yang terbaik untuk kalian semua,” yang membahasakan dirinya sebagai Pak Long.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, beliau menyedari sejak akhir-akhir ini kes Covid-19 meningkat naik melibatkan kluster Benteng di Sabah, dan tahanan penjara iaitu kluster Tembok di Kedah.

“Ya, Pak Long tahu rakyat gelisah, sedih dan marah.

“Namun ketahui lah Pak Long sedang melakukan sedaya upaya Pak Long untuk memastikan setiap rakyat berada dalam keadaan selamat.

“Dalam mesyuarat bersama Perdana Menteri, kita telah buat keputusan untuk terus memperketatkan sempadan terutamanya Pantai Timur Sabah agar Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) tidak mudah lolos untuk mengelakkan jangkitan kepada rakyat kita,” ujarnya.

Berikutan itu, katanya, kerajaan akan meningkatkan kawalan, aset, dan anggota di tambah untuk memastikan keselamatan semua rakyat Malaysia.

Pada masa sama, katanya, prosedur operasi standard (SOP) rentas daerah di Sabah juga dikeluarkan untuk memastikan penularan jangkitan dapat di kawal dengan sebaiknya.

“Task Force Operasi Pematuhan terus berjalan hingga hari ini, begitu juga dengan Operasi Sanitasi Awam untuk proses sanitasi lokasi-lokasi yang terlibat dalam penularan wabak Covid-19 di seluruh negara.

“Pak Long jua mohon dari kalian semua agar teruskan kawalan kendiri dengan menjaga penjarakan sosial, pakai pelitup muka, dan juga kerap mencuci tangan untuk melawan Covid-19 ini.

“Musuh kita, Covid-19 ini tidak akan hilang selagi vaksin tidak ditemui. Kita hampir berjaya melandaikan lengkungan sebelum ini, tiada sebab untuk kita berputus asa hari ini,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here