Peningkatan mendadak kes Covid-19 punca KPT tangguhkan pendaftaran

0
62
Datuk Dr. Noraini Ahmad

CYBERJAYA – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menjelaskan keputusan untuk menangguhkan proses pendaftaran penuntut baharu dan lama di semua institut pengajian tinggi (IPT) terpaksa dibuat susulan peningkatan mendadak kes Covid-19.

Menterinya, Datuk Dr. Noraini Ahmad berkata,
peningkatan kes berkenaan adalah di luar jangka.

“Kementerian telah berbincang terlebih dahulu dengan semua pihak pengurusan IPT termasuklah Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) sebagai agensi utama dalam pengurusan hal ehwal penularan pandemik.

“Saya mengambil maklum rintihan dan keluhan pelajar serta ahli keluarga mereka susulan keputusan pihak IPT menangguhkan pendaftaran fizikal.

“”Saya berharap pihak IPT dapat bersikap wajar, bertimbang rasa dan munasabah dalam menguruskan segala hal yang berbangkit berhubung penangguhan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, tular di media sosial apabila terdapat penuntut IPT dan keluarga mereka yang melahirkan perasaan tidak puas hati apabila tidak dimaklumkan dari awal keputusan tersebut.

Ini berikutan terdapat penuntut yang sudah tiba di IPT masing-masing dan ada juga yang telah membeli tiket kapal terbang untuk pulang.

Dalam pada itu, Noraini berkata, bagi pelajar yang sudah tiba, mereka boleh terus kekal di kampus dan menantikan arahan seterusnya daripada pihak universiti.

“Kepada pelajar yang masih lagi di kediaman atau kampung halaman masing-masing, saya mohon untuk tangguhkan dulu seketika pergerakan untuk pulang ke universiti,” ujarnya.

Dalam pada itu, Noraini turut memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul dan berharap semua pihak dapat bersama-sama membendung penularan wabak Covid-19.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here