Perdana Menteri jelaskan kenapa darurat perlu dilaksanakan

0
251
Tan Sri Muhyiddin Yassin

CYBERJAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sekiranya darurat diisytiharkan di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan di Batu Sapi, Sabah dan Sarawak, pilihan raya kecil (PRK) dan pilihan raya negeri (PRN) yang dijadualkan untuk kedua-dua lokasi itu boleh ditangguhkan sehingga Covid-19 berakhir.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, perkara itu tidak dapat dielakkan kerana ia adalah kehendak dalam Perlembagaan Persekutuan dan terpaksa membenarkan pilihan raya diadakan.

“Saya sebutkan begini kerana ini bukan perkara main-main. Ini perkara serius. Kerana itu, kalau saudara dan saudari tanya saya, pilihan raya sepatutnya tidak diadakan langsung pada masa ini.

“Tetapi apa boleh buat kerana itu adalah kehendak dalam Perlembagaan Persekutuan maka kita terpaksa mengadakan pilihan raya. 

“Kecuali jika darurat diisytiharkan di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan di Batu Sapi dan Sarawak, boleh lah kita tangguhkan dahulu kedua-dua pilihan raya ini sehingga Covid-19 berakhir,’ katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri Mengenai Situasi Semasa Covid-19 hari ini.

Perdana Menteri berkata, jika pilihan raya tidak dapat ditangguhkan atas apa-apa sebab sekalipun, beliau meminta supaya penduduk di kawasan tersebut berhati-hati dan patuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Menyentuh lebih lanjut, Perdana Menteri berkata, kebimbangan yang sama turut dikongsi oleh Ketua Pengarah Kesihatan jika PRN Sarawak terpaksa diadakan.

Muhyiddin berkata, Ketua Pengarah Keihatan bimbang mengenai keadaan di kawasan-kawasan pedalaman Sarawak yang tidak mempunyai kemudahan kesihatan yang lengkap untuk menampung peningkatan kes-kes positif Covid-19 yang berkemungkinan naik selepas pilihan raya.

“Keupayaan frontliners dan logistik kesihatan juga akan menjadi semakin terkekang dengan keadaan geografi Sarawak yang luas dan sesetengah kawasan amat sukar untuk diakses. 

“Ini tidak mengambil kira kos tambahan yang akan ditanggung oleh kerajaan dan kos ke atas ekonomi jika penularan jangkitan Covid-19 berlaku dengan mendadak selepas pilihan raya. 

“Di Sabah sahaja dianggarkan kerajaan terpaksa membelanjakan setengah bilion ringgit jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terpaksa dilaksanakan,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here