Saintis Jepun buktikan pemakaian pelitup muka mampu lindungi si pemakai

0
272
Kebuk udara yang mengandungi dua model kepala manusia yang digunakan dalam ujian tersebut. – GAMBAR MEDIA SOSIAL

CYBERJAYA – Saintis Jepun membuktikan pemakaian pelitup muka mampu melindungi individu yang memakainya sehingga 90 peratus daripada partikel berbahaya terdapat di dalam udara.

Menurut Reuters, kajian oleh saintis dari Universiti Tokyo tersebut turut mendedahkan bahawa jenis pelitup muka dan tacara pemakaian turut memainkan peranan penting dalam melindungi individu berkenan.

Kajian tersebut dijalankan di dalam sebuah kebuk udara yang mengandungi model kepala manusia yang diletakkan berhadapan antara satu sama lain.

“Salah satu daripada model tersebut dipasang dengan nebuliser bagi meniru batuk yang mengandungi partikel koronavirus sebenar.

“Manakala model yang satu lagi dibina bagi meniru perlakuan nafas sebenar, dengan ruang pengumpulan virus yang masuk melalui saluran udara,” kata kajian tersebut yang diterbitkan semalam.

Dalam kajian yang dilakukan itu juga, para saintis mendapati pemakaian pelitup muka yang diperbuat daripada kain kapas mampu melindungi pemakainya sehingga 40 peratus, jika dibandingkan dengan tidak memakai apa-apa perlindungan.

Pemakaian pelitup muka jenis N95 pula mampu melindungi si pemakainya sehingga ke tahap 90 peratus.

Bagaimanapun, saintis mendapati partikel virus masih mampu menembusi masuk ke dalam pelitup muka jenis N95 yang dipakai oleh model itu.

Sementara itu, apabila pelitup muka dipasang pada model yang mensimulasi batuk, pemakaian pelitup muka yang diperbuat daripada kapas dan pelitup muka perubatan mampu menahan lebih daripada 50 peratus partikel virus daripada disebarkan.

“Oleh itu, terdapat satu kesan sinergi apabila penyebar virus dan si penerima memakai pelitup muka,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here