Semua sekolah di Seremban ditutup – KPM

0
116
GAMBAR HIASAN

CYBERJAYA – Kesemua sekolah dan institusi di bawah seliaan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam daerah Seremban, Negeri Sembilan akan ditutup mulai esok hingga 9 November depan berikutan peningkatan kes Covid-19 di kawasan berkenaan.

Kata KPM dalam satu kenyataan hari ini, penutupan ini melibatkan sebanyak 117 buah sekolah rendah dan menengah, dan institusi pendidikan guru serta sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM.

“Senarai institusi pendidikan yang ditutup di daerah Seremban akan dimuat naik di portal serta platform media sosial rasmi KPM untuk rujukan ibu bapa, penjaga serta warga sekolah dan institusi terbabit,” kata kenyataan tersebut.

Keputusan ini selaras dengan perutusan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 6 Oktober lalu berhubung keputusan kerajaan untuk menutup sekolah di kawasan-kawasan yang disahkan zon merah oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

KPM berkata, sekolah dan institusi yang mempunyai asrama juga ditutup dan ibu bapa serta penjaga perlu mengambil murid yang tinggal di asrama tersebut untuk pulang.

“Bagaimanapun, murid yang menunggu untuk diambil ibu bapa atau murid yang ingin terus kekal berada di asrama sekolah dan institusi berkaitan sepanjang tempoh penutupan sekolah akan berada di bawah penjagaan warden asrama.

“Keperluan makan dan minum murid sepanjang tempoh tersebut akan disediakan oleh pihak sekolah dan institusi berkenaan.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here