Ujian vaksin Covid-19 diteruskan walaupun sukarelawan meninggal dunia

0
103
GAMBAR HIASAN

CYBERJAYA – Seorang sukarelawan yang terlibat dalam ujian klinikal vaksin Covid-19 di Brazil dilaporkan meninggal dunia, semalam.

Menurut Reuters, sukarelawan tersebut merupakan salah seorang daripada ribuan individu yang terlibat dalam ujian vaksin keluaran AstraZeneca dan Universiti Oxford.

Bagaiamanapun, kematian ini dianggap sebagai ‘satu insiden terpencil’ dan menurut Universiti Oxford, “tidak ada kebimbangan mengenai ujian ini” setelah satu penilaian menyeluruh dijalankan.

Tambah Reuters lagi, ujian tersebut sudah pasti akan dihentikan jika sukarelawan tersebut menerima dos vaksin yang sedang diuji, namun difahamkan, dia merupakan anggota kumpulan kawalan yang diberi ubatan lain.

Universiti Kebangsaan Sao Paulo yang turut mengkoordinasi fasa 3 ujian klinikal tersebut turut berkata, sebuah panel bebas yang meneliti laporan insiden tersebut turut mencadangkan supaya ujian tersebut diteruskan.

“Semuanya berjalan seperti yang diharapkan, tanpa ada sebarang makluman mengenai reaksi serius dalam kalangan sukarelawan yang menerima vaksin Covid-19,” kata universiti tersebut.

Setakat ini, seramai 80 peratus daripada 10,000 sukarelawan yang mengambil bahagian dalam program ujian ini telah diberi dos pertama di enam buah bandar di Brazil, dengan kebanyakan daripada mereka telah menerima dos yang kedua, tambah universiti tersebut dalam kenyataannya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here