[VIDEO] Nasi lemak Ishak ‘terbang’ ke Australia

0
590

BANDAR BARU BANGI- Kalau bercakap tentang nasi lemak paling popular di Malaysia, semestinya banyak jawapan akan diberikan kerana menu itu mempunyai peminatnya yang tersendiri.

Keenakan rasa menjadikan nasi lemak antara antara hidangan yang paling digemari dan sinonim dengan masyarakat negara ini malah, jangan terkejut jika menu ini turut diminati oleh pelancong luar.

Peredaan zaman menyaksikan hidangan nasi lemak mengalami pelbagai perubahan dari segi penyediaan dan pengunaan bahan-bahan dalam masakan untuk mencari kelainan.

Namun bagi peniaga, Ishak Jamrus, 60, keaslian menjadikan hidangan nasi lemak ‘rare’ dan sebab itu beliau masih mengekalkan resipi tradisional untuk menu yang dijual di gerainya ‘Ishak Nasi Lemak’.

Ishak berkata, beliau telah berniaga nasi lemak sejak 20 tahun lalu di Jalan 4/2 Pangsapuri Jubli Perak di sini selain turut berniaga menu sama di pasar malam sekitar Selangor.

Katanya, beliau masih mengekalkan cara ‘lama’ penyediaan nasi lemak kerana kaedah yang digunakan itu memberi jaminan hidangan tahan lama dan diminati oleh pelbagai lapisan masyarakat.

“Keistimewaan nasi lemak saya ini adalah sambalnya dimasak selama tujuh jam bagi menjamin kepekatan, cili kering yang digunakan adalah bermutu tinggi dan kurang pedas.

“Dalam sehari, saya guna 10 kilogram (kg) cili kering untuk membuat sambal. Saya guna cili kering besar, orang yang biasa dan pakar dalam bidang ini akan tahu kenapa saya guna cili jenis itu.

“Apa yang istimewa lagi tentang nasi lemak saya ialah, semua jenis lauk dimasak selepas subuh dan bukannya pada sebelah malam. Ini menjadikan lauk pauk semuanya masih baharu dan segar.

“Saya jual nasi lemak dengan aneka pilihan lauk, antaranya ialah paru goreng, sambal sotong; sambal udang; rendang ayam dan daging; telur puyuh; ikan bilis goreng dan juga ayam sambal.

“Antara lauk yang menjadi pilihan dan habis setiap hari ialah paru goreng, saya menggunakan sebanyak enam hingga tujuh kilo paru sehari,” katanya yang mempunyai pekerja seramai empat orang.

Mengulas lanjut, Ishak berkata, gerainya dibuka pada pukul 8.30 pagi hingga pukul 11 pagi sahaja dan kebiasaannya sebanyak empat tong nasi akan habis dijual dan lima tong pada sabtu dan ahad.

“Mesti ada yang tanya, mengapa buka pukul lewat pukul 8.30 pagi?, sebenarnya saya berniaga sejak dahulu lagi ikut masa itu. Sebab apa?, sebabnya saya masak lepas subuh untuk kesegaran masakan.

“Alhamdulillah walaupun lewat, Allah sudah janjikan rezeki saya ada, setiap hari boleh dikatakan habis dijual. Harga jualan juga amat berpatutan bermula RM2 dan bergantung kepada permintaan pelanggan,” katanya.

Selain itu katanya, pendapatan sehari hasil jualan nasi lemak pada hari biasa ialah sebanyak RM600 hingga RM700 dan mencecah RM1200 hingga RM1,500 pada setiap Sabtu dan Ahad.

“Selepas menjual nasi lemak, saya juga menjual satey ayam dan daging di lokasi sama bermula pukul 4.30 petang hingga habis biasanya pada pukul 11 malam. Alhamdulillah sambutan amat baik,” katanya.

Bercerita pembabitan awalnya dalam dunia perniagaan, Ishak berkata, dia mula menjual nasi lemak pada tahun 80-an dengan meletakkan nasi lemak bungkus biasa di kedai mamak sekitar Petaling Jaya.

“Saya letak di kedai mamak, habis waktu kerja saya akan datang ‘kutip’ hasil jualan. Selepas itu saya berpindah ke bangi dan mula jual nasi lemak di tepi restoran sebelum buka gerai sendiri di Jalan 4/2,” katanya.

Sementara itu katanya, semua bahan masakan yang gerainya seperti beras, minyak dan gula di beli dari kiosk surau Al-Kautsar di sini bagi membantu koperasi selain sebagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Biasanya bila ada tempahan nasi lemak dari pihak surau, saya juga ada memberikan secara percuma dan adakalanya saya hanya ambil duit modal sahaja, kita saling membantu,” katanya.

Ditanya pengalaman yang tidak akan dilupakan sepanjang berniaga nasi lemak, Ishak berkata, sambal nasi lemak dan serta lauk paru hasil tangannya pernah dibawa ‘terbang’ untuk dijual di Australia.

“Saya masih ingat, pada ketika itu pelajar ‘kita’ mahu jual nasi lemak selama sebulan di Australia ketika bulan puasa. Emaknya datang tempah sambal dan lauk dengan saya untuk dihantar kepada anaknya.

“Saya sediakan semua, sambal dan lauk dibekukan dan dihantar dengan menggunakan kapal terbang. Pelajar itu membuat tempahan seminggu sekali dan nasi pula dia masak sendiri,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here