Roti canai tsunami ‘tembusi’ Pejabat PM

0
272
Turmadzi (kiri) bersama Khadijah menyerahkan bungkusan berisi roti canai yang ditempah kakitangan pejabat Perdana Menteri hari ini.

CYBERJAYA –Pengusaha roti canai tsunami yang pernah tular dalam portal Malakat Tribune beberapa bulan lalu hari ini berjaya ‘menembusi’ pagar Pejabat Perdana Menteri (PMO) selepas menerima tempahan kakitangan di Bangunan Perdana, Putrajaya dekat sini.

Peniaga makanan itu, Mohd. Turmadzi Madun, 40, berkata, sebanyak 200 keping roti canai dan 20 bungkus kari kambing diagih kepada lebih 20 petugas di bangunan itu selepas menerima tempahan, kelmarin.

Katanya, kesemua tempahan berjaya disiapkan pada pukul 10.30 pagi tadi dengan dibantu oleh isterinya, Khadijah Mohamad Nor, 36, dan pekerja, Haziq Fitri, 14, bagi diedarkan kepada polis bantuan dan kakitangan di PMO.

“Kesemua mereka merupakan petugas yang bekerja ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak Covid-19 seperti diumumkan kerajaan baru-baru ini.

“Pada mulanya, saya agak cemas juga hendak menghantar roti canai ke situ pada masa PKP ini, namun selepas diberi jaminan perjalanan saya dari Jenderam Hilir, Dengkil dimaklumkan kepada anggota polis yang bertugas, baru saya berasa lega,” katanya kepada Malakat Tribune hari ini.

Tambah bekas Pengarang Berita akhbar Kosmo! itu, dia tidak pernah terfikir roti canai yang diusahakan sejak September tahun lalu semakin mendapat sambutan sehingga berjaya ‘menembusi’ PMO.

Menurutnya, pada waktu sukar ini, kedainya masih beroperasi seperti biasa namun pelanggan hanya dibenarkan membungkus makanan atau membeli roti canai sejuk beku yang mengandungi lima keping dalam setiap pek berharga RM5.

Turmadzi sebelum ini bertugas di Utusan Melayu (M) Bhd sebelum syarikat akhbar berkenaan terpaksa menutup operasinya ekoran mengalami masalah aliran tunai yang kronik pada September tahun lalu.

Turmadzi yang mengusahakan gerai roti canai di Jenderam Hilir sejak tahun lalu.

Keputusan itu diambil selepas setahun syarikat itu menawarkan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) kepada lebih 800 kakitangannya yang mana Khadijah merupakan salah seorang daripadanya.

Bagaimanapun, bayaran VSS tersebut masih belum diperoleh sepenuhnya oleh kakitangan terlibat. Demi meneruskan kehidupan, Turmadzi dan Khadijah kemudian membuat keputusan untuk membuka gerai Roti Canai Mak Jah yang beroperasi di Warung Nora Corner di Jenderam Hilir.

Liputan mengenai ‘Roti Tsunami’ Turmadzi pernah disiarkan oleh Malakat Tribune beberapa bulan lalu. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here