Asianic perkenal cecair pembasmi kuman

0
60

Oleh : SITI AZIELAH WAHI

CYBERJAYA – Menyedari keperluan cecair pembasmi kuman (hand sanitizer) mendapat permintaan yang tinggi sebagai perlindungan diri daripada kuman dan bakteria, pengeluar produk penjagaan diri jenama Asianic mula mengeluarkan produk tersebut.

Pengarah Pemasaran Asianic, Leny Adam berkata produk cecair pembasmi kuman itu mula dikeluarkan pada awal Mac lalu sebaik wabak Covid-19 mula menular di negara ini.

“Kami mula mengeluarkan produk hand sanitizer jenama Asianic bermula awal Mac 2020 dan Alhamdulillah mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

Produk cecair pembasmi kuman tanpa air jenama Asianic diedarkan di hypermarket dan farmasi-farmasi seluruh negara, ” katanya.

Bagaimanapun katanya disebabkan situasi jangkitan masih berterusan, permintaan yang amat tinggi dan persaingan dengan jenama lain, bekalan bahan asas untuk menghasilkan cecair pembasmi kuman iaitu alkohol sudah kehabisan.

Asianic sebelum ini menampilkan pelbagai jenis produk penjagaan diri dari hujung kaki hingga hujung rambut seperti skrub badan, syampu, pencuci wanita, losyen.

Produk tempatan setaraf antarabangsa ini turut dijual di Raudhah Grocer, Malakat Mall yang baharu dibuka 13 Mac lalu.

Ditanya mengenai sambutan produk-produk jenama Asianic di Raudhah Grocer, Leny berkata sambutan yang diterima amat baik.

“Sebelum berlakunya penularan wabak Covid-19 di negara ini, produk-produk keluaran Asianic mendapat sambutan yang sangat baik daripada pelanggan

Penularan Covid-19 di Malaysia sememangnya menjejaskan pengeluaran kami kerana kilang perlu ditutup dan hanya beberapa staf di bahagian tertentu dibenarkan bekerja, “katanya.

Beliau tidak menafikan, serangan virus pendamik itu turut memberi kesan buruk terhadap Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

” Situasi ini (penutupan PKS) tidak mustahil berlaku. Jika penularan wabak berterusan, ia bakal menyebabkan banyak kilang-kilang dan syarikat PKS terpaksa ditutup,” katanya.

Leny berkata kebanyakan produk Asianic menggunakan bahan semulajadi berasaskan ekstrak bunga-bungaan dan buah-buahan namun kebanyakannya telah kehabisan bekalan.

” Susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang hanya membenarkan industri bagi produk yang menghasilkan barangan penting beroperasi, pengeluaran produk penjagaan diri terpaksa dihentikan sementara,” katanya .

Mengulas mengenai Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini, Leny berkata bantuan-bantuan yang diumumkan itu membantu meringankan beban rakyat.

“Bagaimanapun kami perlu memikirkan bagaimana untuk membayar gaji pekerja dan untuk terus beroperasi pada bulan-bulan seterusnya “katanya. – MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here