Usah Pertikai Tindakan Tegas Polis

0
113

Oleh SITI AZIELAH WAHI

SELEPAS isu kumpulan artis menuntut bantuan istimewa dan luahan usahawan berjaya seakan tidak puas hati dengan bantuan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin, muncul pula isu baharu yang membuatkan media sosial terus bergegar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Terbaharu warga maya rancak berdebat apabila ada tindakan tegas oleh pihak polis yang menjadi salah satu unit barisan hadapan yang bertugas sepanjang negara memerangi Covid-19 dipertikaikan ramai.

Satu persatu kesalahan pihak berkuasa khususnya PDRM dibangkitkan. Antaranya kisah anggota polis yang merotan enam remaja dalam kejadian di Kunak, Sabah baru-baru ini.

Tular pula sebuah video membabitkan anggota meninggikan suara terhadap lelaki yang diperiksa ketika sekatan jalan raya di Seri Kembangan.

Ada yang bersetuju tindakan itu melambangkan ketegasan polis terhadap individu yang melanggar PKP dan ia amat wajar sebagai membendung penularan penyakit Covid-19.

Sebaliknya ada juga kata-kata berunsur kecaman mendakwa polis telah melebihi bidang kuasa mereka.

Tidak habis-habis kerjaya ini di tohmah dan dihina meskipun tidak dapat dinafikan merekalah barisan paling hadapan berkorban dan berkhidmat dalam segala situasi marabahaya mempertahankan negara.

Bukankah kerajaan sudah memberi amaran polis akan bertindak lebih keras dalam menguatkuasakan PKP fasa kedua.

Kita patut bersyukur di negara ini pelaksanaan kawalan oleh pihak keselamatan amat lah berhemah dan penuh budi bicara jika dibandingkan dengan di negara lain seperti di India, dan Filiphina.

Perlu di ingat, tidak semua manusia boleh memahami arahan dan memberikan kerjasama dengan baik. Bahkan ramai kelompok kepala batu, suka melawan dan kurang ajar langsung tidak mahu menurut arahan pihak berkuasa.

Dalam banyak situasi, anggota dan Pegawai polis paling sering dihina dan di tohmah sedang kesalahan itu berpunca dari orang lain.

Kita sebagai rakyat harus memberikan kerjasama, sokongan moral, serta doa supaya barisan hadapan ini sentiasa dilindungi supaya mampu menjadi benteng negara.

Pihak keselamatan mempertaruhkan segalanya demi menjujung tugas yang diamanahkan, bukannya untuk kepentingan diri.

Ketika orang lain enak berehat bersama keluarga, mereka berpanas berhujan menjaga negara.

Negara sekarang sedang berperang dengan musuh halimunan. Keringat barisan hadapan di pertanggungjawab memikul amanah mempertahankan negara.

Janganlah menjadi musuh dalam selimut atau terus membakar api dalam sekam.

Jika segala tindak-tanduk atau usaha serta tindakan yang dibuat oleh barisan hadapan seperti polis dan tentera asyik diperhatikan, ini salah, itu tidak boleh, jangan tanya kenapa jika negara akan di takluki musuh satu ketika nanti!

Nampaknya tugasan warga maya atau lebih dikenali sebagai Tentera Bawang tidak pernah habis. Selesai satu topik, topik baharu pula muncul.-MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here