Edifier GM3 : Fon telinga kaki gaming

0
34
FON telinga Edifier GM3 yang dilengkapi dengan gelang cahaya LED

‘PEMANSUHAN’ audio jack pada sesetengah telefon pintar membuktikan masa depan sistem audio pada peranti itu kini beralih kepada teknologi tanpa wayar yang memberi lebih keselesaan kepada pengguna.

Tidak kira apa jenis penggunaan sama ada untuk sosial media, mendengar muzik, menonton filem atau permainan video, alat pendengaran seperti fon kepala dan fon telinga tanpa wayar kini semakin popular.

Terbaharu, pengeluar peralatan audio komputer global, Edifier memperkenalkan fon telinga tanpa wayar yang dicipta khusus untuk pengemar permainan video di telefon pintar lengkap dengan mikrofon berkualiti.

Edifier GM3 yang dilengkapi teknologi bluetooth menghasilkan bunyi keliling mengagumkan daripada pembesar suara 10 milimeter yang berupaya mengawal pelbagai tahap frekuensi.

Malakat Tribune baru-baru ini menguji ‘fon telinga bangsawan’ yang menjadi kegemaran mobile gamers ini dengan telefon pintar Samsung dengan teknologi Dolby Atmos yang menghasilkan bunyi keliling cukup mantap.

GM3 dibina dengan tahap impedans 16 Ohm yang mampu menekan bunyi bass baik.

Kejutan terbesar pada gajet ini adalah getaran yang terhasil pada bunyi berfrekuensi rendah sekaligus menambah kesan dan memberi pengalaman ‘sebenar’ pada pendengaran.

Penulis bagaimanapun tidak dapat memastikan sama ada kesan getaran itu dicipta sepertimana fungsi vibration pada telefon atau sekadar gegaran yang terhasil pada pacuan pembesar suara. Yang pasti sesuatu yang berbeza berbanding fon-fon telinga yang pernah dicuba sebelum ini.

Walaupun mempunyai binaan pemacu bunyi agak besar, keselesaan memakai GM3 terjamin dengan fungsi sirip mendakap yang memastikan alat itu tidak mudah terlucut dari telinga.

Bagi gamers tegar yang teliti mengenai tahap latency iaitu keseragaman audio dengan video, GM3 dikatakan mempunyai latency sehingga 500 milisaat dan cukup baik untuk ketepatan gaming.

Selain kualiti bunyi yang padu, set fon telinga ini juga dihiasi gelang LED merah pada pembesar suara yang boleh dihidup dan dimatikan untuk lebih ketahanan bateri.

Edifier mendakwa bateri berkuasa 185 mAh itu mampu bertahan sehingga 12 jam tanpa menyalakan lampu LED berkenaan.

Keupayaan bluetooth pada fon telinga ini pula dikatakan menjangkaui jarak radius 10 meter untuk membolehkan pengguna menikmati audio sambil bergerak bebas di dalam rumah atau pejabat.

Selain binaan yang kemas dan elegan, alat ini juga datang dengan set mikrofon untuk memudahkan komunikasi ketika bermain games.

Edifier GM3 dilengkapi dengan butang kawalan bunyi pada kabel sebelah kiri yang memudahkan pengguna mencapai fungsi alat ini.

Selain model GM3 yang dijual pada harga sekitar RM240, Edifier turut mengeluarkan varian tanpa penyambungan bluetooth iaitu GM3 SE pada harga kira-kira RM160. – MT

Butang kawalan audio dan operasi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here