100,000 usahawan disasar sertai OGOShop

0
225

CYBERJAYA 28 Nov. – Platform perdagangan usahawan muslim dan produk ‘halalan toyyiban’ yang berkonsepkan e-dagang serta rangkaian peruncitan, OGOShop.my akan dilancarkan di seluruh negara bermula 1 Januari depan.

Memetik Perak Gazette, platform menggabungkan dua medium tersebut dibangunkan oleh SGi Global Ventures (SGi Global Ventures) Sdn. Bhd., sebuah syarikat milik penuh bumiputera dan merupakan yang pertama seumpamanya di negara ini.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif SGi Global Ventures, Norfasham Matsugi berkata, dalam tempoh dua tahun pertama pelancaran OGOShop.my, pihaknya menyasarkan penyertaan 100,000 usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan.

“OGOShop adalah sebuah gedung yang membantu memasarkan produk halal keluaran usahawan IKS secara digital dan secara rangkaian kedai runcit di seluruh negara dengan sistematik.

“Aplikasi ini dijadual beroperasi pada 1 Januari 2020 dan bermula tarikh itu, segala pembelian produk atau perkhidmatan menerusi OGOShop boleh diakses pelanggan dari seluruh dunia,” katanya selepas Pra-pelancaran Ogoshop di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi yang mewakili Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Yang turut hadir, Penasihat Diraja OGOShop.My, Datuk Tunku Iskandar Dzulkarnain Tunku Ismail dan Presiden Persatuan Pengguna lslam Kelantan (PPIK), Datuk Seri Dr. Mohd. Fared Abdul Ghani.

Mengulas lanjut, Norfasham berkata, bagi melengkapkan nilai rantaian pemasaran, produk yang tidak sesuai dihantar secara pos seperti beras dan gula akan dijual melalui rangkaian kedai runcit OGOMart yang wakilnya akan dilantik secara berperingkat.

“OGOShop turut menggariskan polisi yang diadaptasi daripada prinsip perkongsian rezeki sebagaimana terdapat dalam mekanisme hibah atau lebih dikenali dengan nama ‘cash back’.

“Setiap keuntungan diperolehi terutama transaksi daripada pembekal akan disalurkan semula kepada semua pihak sama ada pengguna, komuniti usahawan, serta stokis rangkaian peruncitan OGOMart,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Fared berkata, kehadiran OGOShop.my tepat masanya memandangkan terdapat platform e-dagang popular hari ini kononnya memasarkan produk untuk Muslim, tetapi tidak menepati aspek ‘halalan toyyiban’ yang betul.

“Mengikut ‘State of The Global Islamic Economy Report 2018/2019 oleh Thompson Reuters, industri makanan halal pada 2017 mencecah AS$1,303 bilion dan dijangka berkembang 6.1 peratus iaitu AS$ 1,863 bilion pada 2023.

“Peluang ini disedari para peniaga di seluruh dunia dan tidak hairanlah ada platform e-dagang menyusun strategi mengeluarkan produk untuk Muslim. Namun, mereka ini tidak mempunyai ‘roh Islam’ menyebabkan terdapat banyak produk dikeluarkan tersebut tidak mengikut syariat Islam sebenar,” katanya.

Che Abdullah pula berkata, OGOShop merupakan inisiatif murni bagi memperkasa ekonomi umat Islam dan rakyat Kelantan berbangga apabila negeri ini dipilih sebagai lokasi terawal pelancaran, sekali gus menjadi perintis kepada penggunaan platform perdagangan terbaharu itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here