Adakah kita bosan melihat negara harmoni?’

0
75

CYBERJAYA 7 Dis. – Sejak kebelakangan ini, negara digemparkan dengan kejadian atau tindakan di luar kewarasan profesional dan tanggungjawab dari individu bergelar rakyat Malaysia hinggalah ke pemimpin berwajib.

Memetik portal The Malaya Post dalam sedar atau tidak ia telah mencalar kestabilan dan keharmonian negara yang telah dibina bersama selepas kemerdekaan.

Bagi bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Bakri Mohd. Zinin, bibit-bibit kebencian dalam diam mula menampakkan kesannya.

Melalui perkongsian dalam akaun Facebook miliknya, beliau menyatakan ungkapan ‘maafkan’ sudah menjadi perkara biasa.

Menurutnya, mengimbas kembali provokasi yang bermula dengan perbuatan tidak masuk akal iaitu ‘bendera songsang’, kini negara dikejutkan penularan video yang memperlihatkan lagu ‘Negaraku’ dinyanyikan dalam bahasa Mandarin.

Tambahnya, sedangkan isu ‘abu jasad’ masih belum reda dan dijadikan bahan mempersendakan kedaulatan undang-undang serta negara.

Beliau turut mengulas, sudah terbiasa dengan situasi apabila melakukan sesuatu kesilapan serta sedar ia salah, ungkapan ‘maafkan kami’ dijadikan asas menghalalkan tata laku, dengan mudah kita terima serta memaafkan.

“Itu bangsa Malaysia kini “, tulisnya.

Beliau menambah, tidak perlu dipertikaikan rakyat adalah bangsa yang suka memaafkan, tiada rasa bersalah malah tertawa megah dan kerana apa pun, rakyat tidak akan mengambil tindakan walaupun bangsa tergadai.

“Adakah kini kita tidak mempunyai nilai perasaan berterima kasih kepada negara yang penuh bertoleransi?”

“Adakah kita bosan melihat negara harmoni. Anak bangsa dah hilang taring mentabir negara. Takut dengan bayang sendiri, bersikap biar si luncai terjun dengan labu-labunya.

“Kita yang melihatnya bercerita tentang enggang, sedangkan pipit mendada ketawa tiada yang berani menegur.

Kita lihat Jebat berbicara kelak. Apa kata Hang Tuah”, luahnya kesal di atas beberapa isu gempar dan sensitif yang menimbulkan kegusaran dalam kalangan rakyat sekali gus menganggu gugat keamanan negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here