Bangunlah Tahajud Jika Anda Gelisah

0
221

SEJAK kebelakangan ini, ribuan rakyat Malaysia terpaksa mengalami nasib diberhentikan kerja kerana syarikat ditutup dan sekali gus memberi kesan tekanan hidup gara-gara ingin menampung kos sara hidup.

Mungkin itu yang telah dan akan berlaku kepada sesetengah di dalam kalangan kita sehingga memaksa segelintir mereka mengambil tindakan tidak masuk akal iaitu membunuh diri.

Tidak kurangnya mengalami tekanan perasaan dan akhirnya menjejaskan kesihatan iaitu antaranya darah tinggi dan serangan jantung.

Namun sebagai manusia dan umat Islam khususnya, marilah kita berserah dan mengadu kepada Allah supaya segala permasalahan itu dapat menemukan jalan penyelesaian.

Sebaliknya ramai tidak mengetahui terdapat rahsia untuk menangani masalah itu dan antara tips rahsia terbesar serta paling mujarab adalah bangun Qiamulail ketika waktu malam.

Selain dikatakan amalan ke syurga, hakikatnya bangunan Qiamulail dengan melakukan solat Tahajud, solat Taubat, berzikir dan membaca al-Quran merupakan rahsia besar kejayaan hidup.

Ia pernah dijelaskan sendiri oleh Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadis riwayat Tirmidzi yang bermaksud:

“Hai sekalian manusia, sebar-luaskanlah salam dan berikanlah makanan serta solat malamlah di waktu manusia sedang tidur, supaya kamu masuk Syurga dengan selamat.”

Malah ia juga ditegaskan dalam ayat 79, surah al-Isra yang bermaksud:

“Pada malam hari, hendaklah engkau solat Tahajud sebagai tambahan bagi engkau. Mudah-mudahan Allah mengangkat engkau ke tempat yang terpuji.”

Berikut adalah antara kelebihan solat tahajud di dunia adalah:

-Akan dipelihara oleh Allah SWT dari segala macam bencana.
-Tanda ketaatannya akan kelihatan dimukanya.
-Akan dicintai para hamba Allah yang soleh dan dicintai oleh semua manusia.
-Lidahnya akan mampu mengucapkan kata-kata yang mengandung hikmah.
-Akan dijadikan orang bijaksana, yakni diberi pemahaman dalam agama.

Adapun terdapat kelebihan di akhirat kelak adalah:

-Wajahnya berseri ketika bangkit dari kubur di Hari Pembalasan nanti.
-Akan mendapat keringanan ketika dihisab.
-Ketika menyeberangi titian Shirotol-Mustaqim, boleh melakukannya dengan sangat cepat, seperti halilintar yang menyambar.
-Catatan amalnya diberikan di tangan kanan.

Ayuhlah kita mulakan hari Jumaat penuh barakah ini dengan melakukan Qiamulail…-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here