Banjir gelombang kedua dijangka pada 25 Disember

0
121

CYBERJAYA 5 Dis. – Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) memberi amaran bahawa gelombang banjir kedua dijangka berlaku pada 25 dan 26 Disember ini dalam skala sama atau melebihi gelombang pertama.

Timbalan Pengarah Bahagian Penyelarasan Operasi Nadma, Rusli Ibrahim, berkata gelombang kedua dikhuatiri itu bertembung dengan air pasang besar di laut perairan Kelantan.

Beliau berkata, mengikut ramalan Jabatan Meteorologi terdapat empat hingga enam luruan angin yang boleh berlaku.

“Jika hujan lebat berlaku pada 25 dan 26 Disember, kita bimbang gelombang terbabit lebih tinggi berbanding yang sedang berlaku sekarang jika ia bertembung dengan air pasang.

“Tapi kita ramalkan banjir berlaku seperti 2016 dan 2017 sahaja. Pusat pemindahan sementara seluruh Kelantan juga bersiap sedia menerima mangsa dalam skala besar,” katanya seperti dilaporkan sebuah portal berita hari ini.

Dalam pada itu, mangsa banjir di Kelantan hari ini berkurangan kepada 11,386 orang sehingga pukul 9 pagi ini.

Kesemua mereka membabitkan 4,427 keluarga ditempatkan di 30 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah iaitu Tumpat, Pasir Mas, Pasir Puteh, dan Kuala Krai.

Berdasarkan aplikasi info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mangsa banjir di Pasir Mas juga sedikit menurun kepada 8,067 orang daripada 3,273 keluarga di 19 PPS.

Di Tumpat pula seramai 3,183 orang daripada 1,120 keluarga di tujuh PPS.

Pasir Puteh pula mencatatkan seramai 80 mangsa daripada 15 keluarga di dua PPS dan Kuala Krai hanya tinggal 56 orang daripada 19 keluarga di dua PPS.

Sementara itu, Sungai Golok di Rantau Panjang masih berada di paras bahaya namun semakin menurun iaitu 10.05 meter berbanding 10.23 meter semalam. – #MalakatTribune

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here