BMF: Diperluaskan ke seluruh negeri tahun hadapan

0
116

CYBERJAYA 30 Nov. – Jelajah kempen Buy Muslim First (BMF) atau Utamakan Produk Muslim akan diperluaskan ke seluruh negeri bermula tahun hadapan.

Memetik portal Ismaweb.net, Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Aminuddin Yahaya berkata, sehingga kini, perjalanan kempen itu berkembang baik dan pihaknya akan melakukan perbincangan dengan wakil-wakil negeri bagi melaksanakan kempen berkenaan ke peringkat seterusnya.

Katanya, selain melakukan jelajah, kempen itu juga akan berkembang melalui pembinaan sebuah pusat beli-belah bagi produk BMF di sini.

“Kita sudah berbincang dengan wakil-wakil negeri untuk melakukan jelajah ini, cuma ada beberapa negeri yang belum kita laksanakan seperti negeri Kelantan dan Terangganu kerana kekangan cuaca.

“Kempen ini berjalan begitu baik dan lancar sekali. Bahkan, pihak kita juga akan laksana dan melancarkan pusat beli-belah di Cyberjaya bagi penjualan produk BMF sahaja.

“Di samping itu, kita juga telah berbincang dengan pihak pemilik dan pembekal dan itu akan dijadikan prototaip serta pusat beli-belah ini akan dibuat di seluruh negara nanti,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kempen BMF dilancarkan oleh Ummah dengan kerjasama Koperasi Al-Hilal Berhad (Kohilal) dan Abata adalah penggerak utama dalam Kempen Membeli Produk Muslim kepada masyarakat Islam di negara ini.

Aminuddin menambah, selain mendapat sokongan dari masyarakat Islam di negara ini, kempen BMF turut mendapat sambutan dari negara seberang iaitu Indonesia.

“Ribuan rangkaian usahawan mahupun kedai yang mahu bekerjasama dengan kita. Begitu juga kita mendapat minat dan sambutan dari pihak seberang sana, Indonesia, yang mahu bekerjasama dengan kita,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here