‘Budak 5 tahun boleh tahu bendera Malaysia’

0
168

CYBERJAYA 26 Nov. – Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak menerima alasan ‘tersilap bendera’ berhubung kesilapan penganjur memaparkan bendera Malaysia dengan bintang berbucu lima pada majlis pembukaan Kejohanan Kebangsaan Bola Keranjang Piala Lum Mun Chak Bawah 15 ke-28 di Kuala Lumpur, semalam.

Menurut beliau, kesilapan itu tidak boleh diterima kerana budak kecil berumur lima tahun pun boleh tahu mana satu bendera Malaysia.

“Saya sudah arahkan pejabat PJS siasat dan ambil tindakan dengan segera.

“Kita marah jika orang asing perlekehkan bendera Malaysia. Kita bagaimana?” Katanya menerusi ciapan dalam akaun Twitter miliknya hari ini.

Sejak semalam, satu video berhubung insiden itu tular dalam media sosial dan mendapat pelbagai kecaman daripada warga maya.

Menerusi video berdurasi seminit 42 saat itu, kelihatan gambar bendera Malaysia dengan bintang berbucu lima dipaparkan dalam skrin televisyen bersama logo Westport yang menaja kejohanan itu.

Dalam pada itu, Presiden Persekutuan Bola Keranjang Malaysia (MABA), Datuk Lua Choon Han dalam satu kenyataan memohon maaf dan menyatakan pihaknya mengambil tanggung jawab sepenuhnya berhubung kesilapan itu.

“Pada majlis pembukaan kejohanan itu semalam kru penyiaran langsung secara tidak sengaja memaparkan bendera yang salah pada skrin televisyen di dalam stadium.

“Kesilapan itu berpunca daripada kesilapan komputer IT yang digunakan pada majlis berkenaan. Kami memohon maaf atas perkara itu dan akan memastikan kesilapan sedemikian tidak berulang,” katanya. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here