
CYBERJAYA 27 Nov. – Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang.
Bagi peminat rancangan realiti Gegar Vaganza pasti mengenali wajah Ketua Pegawai Operasi (COO) Farm Fresh, Azmi Zainal yang sering muncul bagi mempromosikan produk susu keluarannya.
Kejayaan produk tenusu keluran tempatan itu bersaing dengan produk tenusu luar negara bukan sahaja membanggakan tetapi membuka ribuan pekerjaan untuk rakyat tempatan mencari rezeki.
Namun begitu, kisah kejayaan produk Farm Fresh bukan datang dengan mudah. Melalui perkongsian Azmi dalam laman Facebooknya baru-baru ini, kejayaan produk tenusu itu bermula daripada usaha keras dan semangat tidak kenal erti kalah dalam perjuangan.
Malah katanya, ketika mula terlibat dengan perniagaan ini bersama rakan kongsinya yang dikenali sebagai Bro Loi, mereka terpaksa menghantar produk susu yang telah diproses menggunakan bas ekspres.

“Mungkin tidak ramai yang tidak tahu kisah saya dan bro Loi memulakan bisnes kecil kami sehingga mencapai berada di tahap ini, kami bermula dengan 60 ekor lembu dan membeli susu daripada penternak.
“Kami hantar susu-susu itu menaiki bas ekspres kerana tiada lori yang pandang setakat nak hantar susu 10 hingga 20 kotak ke Kuala Lumpur,” katanya.
Berkongsi lebih lanjut, Azmi berkata, sebagai permulaan mereka meniaga secara kecil-kecilan termasuk meniaga di tapak pasar malam dan pasar tani sebelum berjaya masuk ke pasar raya.
Katanya, biar pun produk mereka berjaya memasuki pasar raya, tanggapan negatif orang sekeliling terhadap produk mereka tetap wujud.

“Kami rasa perit dan susah, bukan hanya air mata sahaja yang mengalir, maruah juga di injak-injak. Kami tidak pernah kenal erti tewas, ramai yang mentertawakan kami, malah kompetitor kami kata pada pembeli pasar raya biarlah itu syarikat kecil, kita tak payah usik. Nanti dia sendiri mati.
“Bila nak cari promoter pula, ramai promoter-promoter yang ketawakan saya dengan bertanya beetulkah kamu boleh bayar gaji kami, sedangkan kau pun pakai selipar saja,” luahnya.
Azmi berkata, segala cercaan dan kata-kata pembunuh semangat itu dijadikan sebagai pembakar semangat untuk mereka terus berusaha dan berdoa.
Disebabkan itu, katanya, mereka sangat memahami bagaimana perasaan orang yang susah dan sangat memerlukan sekarang kerana pernah berada pada situasi sama dahulu.-MT