Cikgu ‘Erin’ tekad tinggalkan dunia mak nyah

0
434

MUNGKIN ramai yang memandang serong dan mencemuh kehadiran ‘wanita jelmaan’ ini, namun kewujudan mereka di tengah-tengah masyarakat sebenarnya seakan-akan telah diterima.

Namun, tidak ramai menyelami kehidupan sebenar golongan yang lebih dikenali sebagai mak nyah dan mengambil berat tentang dilema mereka.

Baru-baru ini penulis berpeluang mendekati seorang lelaki yang dahulunya mak nyah, Mohd. Khairiri Mohamad Ramli, 39 atau pernah selesa dipanggil ‘cikgu Erin’.

Suaranya lembut. Cuma dia tidak berpakaian seperti wanita. Jika dahulu, Mohd. Khairiri akan memakai pakaian wanita lengkap dengan solekan.

Namun atas izin-Nya, Mohd. Khairiri kini memilih untuk kembali ke pangkal jalan, mendekatkan diri dengan Allah dan melupakan zaman gelapnya.

Mengimbas detik-detik awal dirinya terpesong menjadi mak nyah , Mohd. Khairiri memberitahu segala-galanya bermula sewaktu alam kanak-kanak.

Sebagai anak bongsu, dia sangat rapat dengan ibu dan arwah kakak sulungnya.
Kebetulan dia memang suka bergaya dan ingin kelihatan cantik seperti seorang wanita. Anak patung dan main masak-masak menjadi kegemarannya.

“Semasa di sekolah, naluri saya juga lebih kepada lelaki. Suara saya juga bukan buat-buat. Tengoklah saya tidak mempunyai halkum,” ujarnya sambil tersenyum.

Bagaimanapun, jelas Mohd. Khairiri, pernah terdetik di hatinya, sampai bilakah dia akan menjadi sedemikian?

Dia pernah mencuba untuk menjadi lelaki sejati tetapi tidak berjaya. Ini kerana menurutnya, dia tidak boleh menipu diri sendiri selain hatinya memberontak.

Hari ini, Mohd. Khairiri bukan sahaja seorang insan yang berjaya dengan kerjayanya malah dia juga gembira di samping keluarga tersayang.

Mohd. Khairiri sememangnya seorang individu yang amat bertuah kerana ibu bapanya sentiasa memberi sokongan.

“Mereka jugalah yang banyak memberi saya nasihat dan dorongan untuk berubah. Walaupun ada yang mencemuh termasuk insan terdekat, saya tidak pernah mengalah.

“Saya meneruskan pelajaran sehingga berjaya dalam kerjaya. Semasa di sekolah, saya juga sangat aktif dalam pelbagai bidang sama ada pelajaran atau kesenian,” katanya.

Di sebalik kisah keinsafan Mohd. Khairiri, dia sebenarnya melalui kehidupan yang sangat sukar.

“Kira-kira 10 tahun dahulu, saya pernah mempunyai seorang teman lelaki yang lebih tua daripada saya. Saya jadikan dia insan istimewa dan mentor dalam hidup saya. Namun, kebaikannya pada saya rupa-rupanya bersebab.

“Selama lapan bulan tinggal bersamanya, hidup saya terseksa. Duit saya habis berpuluh ribu hanya untuk dia. Tidak cukup dengan taburan duit, saya dipukulnya sehingga patah hidung. Saya juga dipaksa mengambil dadah. Ketika itulah, saya tersedar. Sampai bila saya harus hidup seperti ini,” ujarnya yang mendakwa turut disihir oleh lelaki tersebut.

Kehidupan penuh seksa itu menyebabkan dia bertekad keluar daripada dunia mak nyah.

Dia kemudiannya menjalani rawatan secara Islam di Tanjung Rambutan, Perak.

“Perlahan-lahan saya keluar dari dunia saya sebelum ini. Saya mempelajari semula ilmu agama dan membaca al-Quran untuk mendekatkan diri dengan Tuhan.

“Alhamdulillah, saya berjaya merubah diri saya. Dunia mak nyah saya tinggalkan. Saya menjalani pembedahan membuang payudara saya. Alhamdulilah segalanya berjalan lancar,” katanya yang turut mengadakan kelas dan kuliah agama.

Mohd. Khairiri mahu jalan yang dipilihnya ini juga diikuti oleh golongan mak nyah lain. Mohd Khairiri bersedia membantu mereka yang ingin kembali ke pangkal jalan.

“Saya tahu golongan ini sangat keras hati. Tiada cara lain untuk mengubah mereka selain daripada kelembutan. Saya masih lagi berkawan dengan mereka. Saya berdoa supaya mereka juga diberi hidayat,” ujarnya.

Pesan Mohd. Khairiri kepada ibu bapa yang mempunyai anak mengalami kecelaruan identiti sama ada mak nyah atau pengkid, jangan terlalu memaksa atau menekan mereka untuk berubah.

Paling penting, katanya, jangan sisihkan mereka.

“Banyakkan solat hajat supaya mereka menjadi lebih baik. Cara yang paling baik ialah menerusi perubatan Islam,” ujarnya yang kini giat membantu usahawan mempromosi produk mereka melalui siaran langsung Facebook miliknya, Cikgu Ery.

Di samping itu, dia juga aktif menjalankan aktiviti sihat seperti senaman secara berkumpulan. – MT

Foto Ihsan Cikgu Erin

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here