
Melaka United mengumumkan Curran Singh Ferns bakal menyarung jersi Melaka United selepas ditawarkan kontrak untuk bersama Skuad Hang Tuah musim depan.
Ferns, 26 tahun kelahiran Darwin, Australia mempunyai darah kacukan Malaysia-Australia, boleh beraksi di posisi Tengah Bertahan (Defensive Midfielder) dan Pertahanan Tengah.
Beliau memulakan karier profesionalnya pada 2015 bersama kelab Australia, Brisbane City FC yang beraksi dalam saingan Divisyen 2 Australia, National Premier Leagues sebelum berhijrah ke Malaysia.
Terdahulu Ferns pernah beraksi dalam Liga Malaysia bermula dengan menyertai Johor Darul Ta’zim II pada 2016, sebelum ke Negeri Sembilan pada musim 2016 dan 2017.
Beliau kemudiannya menyertai Felda United FC dan menjadi tonggak penting Skuad The Fighters menamatkan saingan Liga Super 2017 di tempat ke-3 selain membantu pasukan itu mara ke Separuh Akhir Piala Malaysia musim 2017.
Beliau kemudiannya kekal bersama Felda United yang turun ke saingan Liga Premier 2018 namun hanya selepas separuh musim beliau menyertai kelab Thailand, Sukhothai FC yang beraksi di Thai League 1 2018 dan 2019 sebelum kembali ke Australia menyertai Port Melbourne SC beraksi dalam National Premier Leagues di pertengahan musim 2019.
Jelas pengurusan MUSA di bawah presiden baru YB Damian Yeo serius memberi saingan untuk musim 2020.