D’Timer Cafe sajian asli Johor

0
383

SEKIRANYA anda tercari-cari sajian enak tradisional Johor, D’Timer Café ialah tempatnya. Dengan harga berpatutan dan suasana kafe yang ringkas dan selesa, pasti membuatkan pengunjung berpuas hati sepanjang menikmati hidangan menyelerakan di sini.

Pemiliknya, Azila Abu Kassim, ingin berkongsi sesuatu yang istimewa dari negeri kelahirannya, selatan tanah air.

Hidangan di sini merupakan resipi ibu bapanya yang masing-masing berasal dari Batu Pahat dan Mersing.

“Pembukaan kafe ini ialah cetusan idea daripada ayah saya, Abu Kassim Awang yang mahukan sebuah kafe khas menjual makanan asli Johor. Kafe ini diusahakan oleh kami adik beradik sejak Februari 2016.

“Ini merupakan cawangan kedua yang baru sahaja beroperasi bermula 30 November tahun lalu. Cawangan pertama D’ Timer Cafe terletak di Wangsa Maju.

“Penggemar yang sudah biasa berkunjung ke kafe ini pasti memahami keenakan sebenar hidangan yang disediakan. Ini kerana, kami di sini amat mengutamakan kualiti setiap hidangan disediakan kerana bukan mudah untuk memasak pelbagai makanan tradisional yang asli.

“Terutamanya, untuk memberikan kepuasan kepada pelanggan yang berpeluang menikmati hidangan tradisional seperti Laksa Johor dan Lontong Darat,” katanya yang sebelum ini bekerja sebagai jurutera.

Tambah Azila lagi, di sini turut menyediakan hidangan lain seperti Nasi Ambeng, Kacang Pool, Mi Bandung Muar, Nasi Beriani Daging, Mi rebus dan pelbagai jenis kek sebagai pemanis mulut.

Antara menu signature D’Timer seperti Lontong Darat (RM13.90), Nasi Ambeng Ayam Kicap (RM15.90), Laksa Johor (RM13.90), Soto Ayam Nasi Impit (RM10.90) dan Kacang Pool (RM11.90).
Dua menu yang baru diperkenalkan iaitu Mi Sanggul (RM3) dan Set Botok-botok serta Nasi Putih (15.90).

Bagi Laksa Johor, resipi yang digunakan adalah resipi turun temurun keluarganya. Lebih istimewa sehingga kini Laksa Johor masih di masak sendiri oleh ibunya, Zaleha Mohd Yusoff untuk dijadikan pes.

“Pes yang telah siap dimasak akan di bawa ke kafe sebelum dimasak semula sepenuhnya oleh tukang masak dan dihidangkan kepada pengunjung.

“Kami menyediakan kuahnya menggunakan ikan kembung, kerisik, santan pekat dan dihidangkan bersama hirisan timun, bawang dan daun kesum untuk menaikkan aromanya,” ujarnya.

Jika anda inginkan menu yang lebih ringan, D’Timer turut menyediakan sajian minum petang seperti lempeng, roti jala, roti boom bersama kuah kari, roti bakar dan juga karipap.

Karipap berintikan bawang dan telur berbentuk empat segi yang dikenali sebagai ‘epok-epok’ disediakan setiap hari namun kuantiti mengikut kemampuan ibunya. Karipap panas ini sentiasa ditunggu-tunggu oleh pelanggan.

Sesuai dengan temanya ‘Bila Resipi Tradisi Bertemu Kopi’, di sini disediakan pelbagai jenis kopi menanti anda sebagai hidangan minum petang. Aroma kopi arabica sudah pasti membangkitkan selera dengan pilihan 10 jenis kopi yang dihidangkan panas dan juga sejuk.

Minuman yang menjadi signature di sini seperti D’Timer Coffee, teh tarik, Air bandung soda serta minuman blended seperti Yellow Bliss dan Black Forest.

Terdapat lebih 50 menu disediakan dengan harga bermula pada harga RM1.50 hingga RM17.90. Beroperasi setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 10 malam dan boleh memuatkan hampir 70 orang dalam satu-satu masa.

Di sini menerima tempahan bagi mereka yang ingin mengadakan majlis tertutup seperti jamuan hari lahir, perjumpaan keluarga, reunion sekolah, acara korporat atau sebagainya.

Ini kerana suasananya yang lebih selesa, ‘trendy’ dan ‘cosy’.

Ternyata percaturan keluarga Azila untuk membuka kafe makanan tradisional Johor tidak sia-sia kerana selain makanan yang disediakan enak, anda juga pasti tidak akan menyesal mengunjunginya kerana D’Timer Cafe menyediakan sajian dan cita rasa tersendiri. – MT

D’Timer Cafe
Alamat: 44G JALAN SS21/35
DAMANSARA UTAMA
Waktu operasi: Setiap hari dari 10 pagi hingga 10 malam

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here