E-dompet : ‘Bakar duit’ atau buat duit

0
406
GAMBAR HIASAN

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

Ada berpendapat penggunaan wang tunai sudah lapuk dan akan pupus jua suatu hari nanti sama seperti nasib yang menimpa Kodak.

Pada peringkat awal dulu, kemunculan kredit kad dan kemudiannya kad debit secara tidak langsung memberi persaingan kepada penggunaan wang tunai.

Namun, sejak akhir-akhir ini, kebangkitan penggunaan sistem pembayaran elektronik atau e-dompet semakin mendapat tempat terutama disokong kepesatan ekonomi e-dagang.

Perkembangan e-dompet di Malaysia berkembang sejak tiga tahun lalu dan kini merupakan sebahagian daripada gaya hidup terutama golongan milenial.

Setakat ini, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengeluarkan 48 lesen e-wang termasuk lima kepada institusi perbankan yang boleh menjadi pilihan pengguna di negara ini dengan populasi penduduk sekitar 32.6 juta.

Berbanding China yang mempunyai 1.4 bilion populasi, negara tembok besar itu hanya menawarkan dua sahaja perkhidmatan e-dompet, WeChat Pay dan Alipay yang menguasai lebih daripada 90 peratus pasaran bagi pembayaran mudah alih.

Firma perkhidmatan profesional, PricewaterhouseCoopers Malaysia menganggarkan pasaran e-dompet di Malaysia akan mencecah AS$20 bilion menjelang 2024 berikutan penggunaan meluas merentasi pelbagai segmen.

Data BNM menunjukkan, transaksi e-wang bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini berjumlah RM10.6 bilion.

Bagaimanapun, memetik laporan Bloomberg semalam, Ketua Pegawai Eksekutif PT Mandiri Capital Indonesia, Edidi Danusaputro mempunyai pandangan berbeza mengenai perkhidmatan tersebut.

Beliau berkata, platform pembayaran elektronik hanya boleh merekodkan keuntungan sekiranya menyediakan pelbagai perkhidmatan atau barangan bernilai tinggi dan jika sebaliknya, ia sekadar ‘aktiviti membakar duit’.

“Tiada sesiapa boleh membuat keuntungan daripada e-dompet. Yuran penjual sebanyak dua atau tiga peratus juga bakal menurun dan lenyap.

“Bank membuat duit daripada dana (pinjaman) dan simpanan atau akaun cek terhadap pedagang. Jadi, bagi membolehkan mereka bertahan, perkhidmatan e-dompet harus meneroka segmen yang lebih menguntungkan seperti dana mutual, saham atau produk insurans,” katanya.

Di Indonesia, perkhidmatan seperti Gojek GoPay dan Grab Holdings Inc., telah bekerjasama untuk memberi diskaun dan pulangan tunai kepada pengguna setinggi 50 hingga 90 peratus iaitu ia tidak mapan di mata Mandiri Capital.

Berdasarkan kajian dijalankan App Annie Intelligence bersama iPrice Group, terdapat empat perkhidmatan e-dompet yang kerap digunakan rakyat Malaysia iaitu Grab, Touch n’Go eWallet, Boost dan Fave.

Di sebalik peningkatan trend e-dompet, salah satu aplikasi terawal perkhidmatan itu, vcash yang dibangunkan Digi-X telah menamatkan perkhidmatannya 30 November lalu setelah diperkenalkan pada suku keempat 2017.

Pemain dalam segmen ini sebenarnya amat sengit apatah lagi bergantung kepada corak perbelanjaan pengguna dan kadar penembusan mudah alih.

Apa pula nasib perkhidmatan e-dompet yang lain dan adakah rakyat Malaysia sudah cukup bersedia ke arah komuniti tanpa tunai? – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here