Herv Natural, inspirasi dari arwah ibu

0
312

Kerjaya sebagai jurusolek lebih sedekad mendedahkan wanita ini dengan pelbagai permasalahan yang sering menjadi kerisauan kaum Hawa.

Lumrah seorang wanita mahu memiliki kulit wajah yang cantik dan sihat, namun dek kerana kekurangan ilmu terhadap penjagaan wajah, ramai yang terpaksa mengenakan solekan tebal untuk meningkatkan keyakinan diri, selain menutup cela di wajah.

Niat mahu membantu dan mendidik wanita mengenai cara mendapatkan kulit wajah yang sihat dan cantik, Nurul Taherah Helmi Raflah atau mesra disapa Hera Helmi memperkenalkan produk penjagaan kulit wajah, Herv Natural, yang diasaskan daripada produk alami.

Mengangkat slogan ‘less make up, senang solat’, Hera menjelaskan Herv Natural satu-satunya jenama yang bukan melihat kehendak keduniaan semata-mata bahkan juga akhirat.

“Sebenarnya, sebelum ini saya adalah jurusolek artis. Namun, saya mempunyai matlamat yang jelas dalam menghasilkan Herv Natural.

“Melalui produk ini, saya mahu melihat lebih ramai wanita memiliki kulit yang sihat, jadi mereka tidak perlu lagi mengenakan solekan yang tebal bagi menutup bahagian kulit yang bermasalah. Apabila tidak pakai alat solek, ia juga memudahkan kaum wanita untuk menunaikan solat,” katanya ketika ditemui MT di pejabatnya di Bandar Puteri Bangi, Kajang, baru-baru ini.

Mula diperkenalkan di pasaran tempatan setahun lalu, jenama eksklusif ini menawarkan empat produk iaitu Brightening Oil Cleanser (berasaskan buah oren), Deep Glow Exfoliator (buah pic), Soothe Hydra Cleanser (strawberi) dan Luxe Essence Advance (bunga ros) yang dijual pada harga antara RM35 hingga RM79.

Hera berkata, walaupun ia belum mencapai tahap organik sepenuhnya namun produk ini 70 peratus berasaskan bahan-bahan semula jadi.

“Saya berperanan membantu wanita di luar sana memakai dan menikmati kulit wajah yang sihat dan cantik. Jadi, tidak perlu lagi mengenakan solekan yang tebal. Alhamdulillah, selepas setahun penerimaannya sangat positif, mereka semakin sedar,” katanya yang mengakui Herv diinspirasikan daripada namanya sendiri dan diigabungkan dengan perkataan natural membawa makna semula jadi.

Setiap perniagaan pastinya ada satu sosok yang akan menjadi inspirasi kepada kejayaan seseorang, begitu juga Hera dalam membangunkan jenamanya sendiri.

“Bisnes ini mendapat inspirasi bermula daripada arwah ibu yang juga pelakon, Linda Helmi.

“Beliau benar-benar mahu melihat saya berjaya dalam perniagaan dan mempunyai produk sendiri. Produk ini wujud kerana arwah. Saya akui, arwah juga seorang yang aktif menjalankan perniagaan ketika hayatnya, beliau juga kerap bertemu orang ramai dan mengenakan solekan.

“Beliau akhirnya dijemput Illahi tiga tahun lalu ketika usianya 55 tahun. Saat arwah dikafankan, saya lihat wajahnya cantik, suci dan bersih tanpa mekap. Jadi, saya terfikir tanpa solekan sebenarnya wajah kita lebih cantik. Justeru, saya wujudkan Herv Natural,” katanya.

Di sebalik kemanisan membina empayar Herv Natural, beliau yang menitikberatkan penggunaan alami, turut berdepan persepsi rakyat Malaysia yang lebih gemar memilih produk pemutihan dan pencerahan.

“Bagi mereka, kulit yang cerah seawal tiga hari lebih penting berbanding mendapatkan kulit wajah yang sihat. Bila kita cuba ketengahkan produk Herv Natural untuk membantu masalah kulit wajah, penerimaannya agak sukar.

“Keduanya, produk ini membawa satu imej ‘less make up, senang solat’, bila kita nak menegakkan slogan itu, memang susah,” kata ibu kepada empat anak ini.

Bagaimanapun, beliau bertuah apabila usaha keringatnya untuk membantu wanita lain, disokong oleh suami yang menjadi sumber kekuatan untuk terus berjaya.

“Saya beruntung kerana perniagaan ini dibangunkan dan digerakkan bersama suami. Stigma mengatakan bahawa bekerja dengan suami agak susah, bagi saya ia tidak benar sama sekali. Apabila kami bekerjasama di bawah satu bumbung, ia memudahkan banyak perkara,” katanya.

Selepas setahun bertapak dalam bidang produk kecantikan, operasi pemasaran Herv Natural kini dibantu lebih 50 stokis dan 3,000 ejen di seluruh Malaysia.

Malah, Hera bertekad mahu mengukuhkan misi dan slogan ‘less make up, senang solat’ ke seluruh dunia.

“Kami merancangan untuk menambah jumlah stokis dan juga ejen malah merancang untuk melebarkan sayap ke Indonesia, Brunei dan Dubai dalam waktu terdekat ini.

“Saya mahu seluruh umat Islam yang menggunakan produk ini faham apa yang kita cuba sampaikan. Saya berharap jenama yang saya bangunkan ini akan kukuh dan dapat bersaing secara sihat dengan jenama-jenama lain di pasaran,” katanya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here