HIV: Tangani segera isu seks sejenis

0
108

CYBERJAYA 4 Dis. – Semua pihak perlu memainkan peranan dalam menangani masalah sosial dalam masyarakat, khususnya membabitkan amalan songsang seperti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Memetik portal Ismaweb.net, Presiden Perikatan Wanita Antarabangsa Untuk Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (Wafiq), Prof. Madya Dr. Rafidah Hanim Mokhtar mengakui bimbang dengan statistik kes jangkitan HIV yang didedahkan Kementerian Kesihatanbaru-baru ini.

Berdasarkan statistik tahun 2018, 94 peratus jangkitan kes HIV disebarkan melalui hubungan seksual, di mana hubungan seks sejenis menyumbang 57 peratus kepada keseluruhan kes, manakala seks berlainan jantina pula 37 peratus.

Trend itu jelas berbeza daripada tahun 1990 iaitu penagih dadah menyumbang kepada jumlah terbesar kes jangkitan HIV, sementara hubungan seks heteroseksual hanya lima peratus daripada jumlah jangkitan dan hubungan sejenis langsung tiada kes dicatatkan.

Mengulas perkara itu, Dr. Rafidah mahu kerajaan mengambil pendekatan bersepadu untuk memberi mesej tepat mengenai orientasi seks yang berisiko tinggi seperti liwat atau hubungan songsang kepada masyarakat.

“Pendekatan agama sangat perlu dan kempen secara agresif bersama-sama kementerian untuk memberi mesej bahawa hubungan homoseksual, biseksual, seks luar pernikahan, seks rambang, langgan pelacur adalah perbuatan yang ditegah oleh agama.

“Ia bahkan sangat berisiko tinggi mendapat jangkitan HIV serta jangkitan kelamin seperti gonorea dan sifilis,” katanya hari ini.

Tambah beliau, kajian juga menunjukkan individu yang mengamalkan homoseksualiti adalah dua atau tiga kali ganda mempunyai sejarah mengalami penderaan seksual.

Justeru, beliau menegaskan mengenai kepentingan Kementerian Pendidikan (menangani isu pornografi dan penderaan seksual di sekolah serta institusi pengajian tinggi.

“Saya juga menggesa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat supaya mengukuhkan kemahiran keibubapaan dan pengukuhan kekeluargaan,” katanya. – #MalakatTribune

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here