Jaga kesihatan ketika musim banjir

0
206

Pandangan dari udara di Wakaf Bata ke Paloh Rawa yang dinaiki air akibat banjir di, Machang, Kelantan hari ini. – Gambar Facebook Rakyat Kelantan

Oleh SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH

CYBERJAYA 3 Dis. – Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengambil langkah penjagaan kesihatan terutamanya ketika musim banjir.

Berikutan itu Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Noor Hisham Abdullah menasihatkan orang ramai mengelak daripada bermain air banjir terutamanya jika mempunyai luka atau masalah kulit supaya tidak terdedah kepada risiko jangkitan penyakit leptospirosis (kencing tikus) dan melioidosis yang ditularkan melalui air tercemar.

Beliau berkata, sebagai pelindung diri mereka boleh menggunakan alat seperti boot getah dan sarung tangan getah semasa aktiviti pembersihan terutama jika melibatkan banjir lumpur.

“Selain itu, minum air yang dimasak dan makan makanan bersih bagi mengelakkan kejadian penyakit bawaan air dan makanan seperti keracunan makanan, kolera, tifoid, hepatitis A dan Acute Gastroenteritis (AGE).

“Amalkan penjagaan kebersihan diri iaitu mengamalkan cara basuh tangan yang betul menggunakan sabun dan air bersih sebelum menyediakan makanan, sebelum makan, selepas ke tandas, selepas membuat aktiviti pembersihan serta selepas menyentuh barangan yang dicemari oleh air banjir atau kumbahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan supaya memastikan bekalan makanan yang disimpan di dalam peti sejuk tidak rosak sebelum dimasak dan elakkan memakan makanan terdedah kepada air banjir, yang berada pada suhu bilik melebihi empat jam atau ada perubahan rasa, bau atau tekstur.

Selain itu, beliau turut menasihatkan supaya mengawasi risiko renjatan elektrik sekiranya rumah dinaiki air dan mengelakkan penggunaan soket elektrik yang terdedah kepada air banjir sebelum ia dipastikan selamat.

“Sentiasa mengamalkan penjagaan kebersihan persekitaran. Pembuangan sampah di merata tempat akan mendatangkan risiko penyakit, pembiakan vektor pembawa penyakit seperti tikus, nyamuk dan lain-lain.

“Semasa banjir, bekas-bekas menakung air akan menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes dan anopheles. Ini menyebabkan populasi nyamuk bertambah sekali gus meningkatkan penyebaran penyakit bawaan nyamuk seperti demam denggi, chikungunya dan malaria,” katanya.

Mengulas lebih lanjut, beliau menasihatkan penghidap penyakit kronik seperti pesakit hemodialisis yang memerlukan rawatan berkala membuat perancangan untuk berpindah lebih awal supaya tidak terputus hubungan mendapatkan rawatan.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 33 buah fasiliti kesihatan terjejas banjir iaitu melibatkan 28 buah fasiliti kesihatan di Kelantan dan lima di Terengganu.

Dr. Noor Hisham berkata, daripada jumlah itu 21 buah fasiliti kesihatan terputus hubungan, lima buah dinaiki air dalam fasiliti kesihatan dan tujuh buah fasiliti kesihatan mengalami kenaikan air di luar fasiliti kesihatan.

Sehubungan itu, katanya, operasi fasiliti kesihatan yang dinaiki air dipindahkan ke fasiliti kesihatan berhampiran dan masih beroperasi seperti biasa serta sentiasa bersedia untuk memberi perkhidmatan kepada masyarakat.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here