Jakim: Solat subuh sebelum ini sah

0
93

CYBERJAYA 29 Nov. – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjelaskan solat subuh yang dilaksanakan selama ini adalah sah ekoran timbul kekeliruan sebilangan besar umat Islam selepas waktu solat tersebut dilewatkan lapan minit di Selangor bermula semalam.

Menurut Ketua Pengarah Jakim, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim, perkara tidak sah solat tidak timbul kerana masuknya waktu solat subuh adalah berdasarkan kepada ijtihad dan penyelidikan semasa yang telah diperakui oleh pemerintah dan institusi agama berautoriti sama ada di
peringkat persekutuan mahupun negeri.

“Dari segi prosedur dan proses di peringkat persekutuan, Jakim sebagai urusetia Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) dan Jawatankuasa Muzakarah MKI akan mengangkat semua keputusan yang telah diputuskan untuk makluman Mesyuarat MKI yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan ahli-ahlinya yang terdiri daripada menteri-menteri besar dan ketua menteri dan seterusnya disembah maklum untuk perkenan majlis raja-raja
selaras dengan peruntukan di mana hal ehwal Islam adalah di bawah bidang kuasa negeri-negeri.

“Tujuannya adalah bagi mewujudkan penyelarasan dalam pelaksanaan keputusan tersebut di semua negeri seluruh Malaysia. Keputusan muktamad adalah tertakluk kepada negeri-negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut katanya, keputusan tambahan lapan minit bagi permulaan waktu solat subuh dibuat menggunakan
parameter altitud matahari pada 18 darjah di bawah ufuk.

Katanya, perubahan itu menyebabkan waktu solat subuh sedia ada perlu ditambah sebanyak lapan minit.

“Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI yang telah diputuskan ini
adalah berdasarkan penyelidikan komprehensif selama setahun yang telah
dilaksanakan oleh Jakim bersama kumpulan pakar daripada Universiti Malaya, Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Teknologi Mara berkaitan Penentuan
Hukum Nilai Altitud Matahari di Bawah Ufuk Bagi Penentuan Awal Waktu Solat Subuh di Malaysia.

“Hasil penyelidikan ini sebelum dibentangkan untuk penentuan hukum Jawatankuasa Muzakarah MKI juga telah dibentangkan dalam Mesyuarat
Jawatankuasa Penyelidikan dan Pengurusan Fatwa (JPPF) pada 17 September lalu dan Muzakarah Falak Peringkat Kebangsaan yang telah dihadiri oleh panel pakar falak, pensyarah-pensyarah institut pengajian tinggi, pegawai-pegawai falak seluruh Malaysia dan juga persatuan serta
individu yang bergiat aktif dalam bidang falak,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here