
CYBERJAYA 5 Dis. – Penekanan berterusan mengenai kepentingan penabungan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) sepanjang tahun ini membuahkan hasil apabila berjaya mencatatkan keuntungan pelaburan terkumpul 2019 berjumlah RM151.5 juta setakat suku ketiga tahun ini.
Jumlah itu sekali gus menunjukkan peningkatan memberangsangkan iaitu sebanyak 25.9 peratus berbanding RM120.33 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam satu kenyataan memaklumkan, pada tahun lalu, agensi itu berjaya mengagihkan dividen SSPN pada kadar empat peratus membabitkan 3.52 juta akaun dengan peruntukan RM118.61 juta.
Menurut kenyataan itu, berdasarkan prestasi semasa, PTPTN menjangkakan dapat meningkatkan atau sekurang-kurangnya mengekalkan kadar pemberian dividen berkenaan.
Untuk rekod pencapaian SSPN bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini menyaksikan jumlah pendeposit adalah sebanyak RM581.83 juta berbanding RM486.92 juta bagi tempoh sama tahun 2018.
Jumlah tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak RM94.91 juta atau 19.5 peratus seai gus menjadikan jumlah terkumpul deposit SSPN sehingga September 2019 berjumlah RM4.65 bilion.
Dalam pada itu, Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan yang gembira dengan perkembangan tersebut berkata, pencapaian itu membuktikan bahawa penekanan yang diberi kepada penabungan SSPN sepanjang 2019 berhasil.
Malah katanya, kejayaan itu juga disokong oleh pentadbiran yang cekap.
“Keuntungan ini nanti akan dikongsi dengan para pendeposit dalam bentuk dividen yang akan diumumkan pada awal tahun hadapan.
“Saya menyeru semua pihak mengambil manfaat daripada skim SSPN, terutama dalam bulan terakhir 2019 ini.
“Insentif yang kita berikan sukar ditandingi oleh mana-mana entiti lain, seperti pelepasan cukai pendapatan bagi RM8,000 pertama yang disimpan dan juga hadiah-hadiah lumayan kita tawarkan melalui cabutan berkala khusus untuk para pendeposit,” katanya. – #MalakatTribune