Kuasa kembali ke tangan pengguna

0
63

Oleh ABD. HALIM HADI

ANTARA prinsip yang tidak pernah memberi iktibar dalam hubungan antara peniaga dengan pelanggan walaupun begitu kerap ia dinyanyikan adalah ‘pelanggan itu raja’.

pada dasarnya ia bukanlah ungkapan yang dilaungkan pelanggan untuk melindungi hak dan kepentingan mereka, sebaliknya dicipta sebagai satu akur janji oleh golongan peniaga dalam menyediakan perkhidmatan terbaik kepada mereka.

Pelanggan adalah raja bagaimanapun mempunyai pengertian yang jauh lebih besar dan tidak hanya berkisar pada untung dan rugi setiap sen keluar dari dompet pembeli sehingga masuk ke kantung penjual.

Jika diperhalusi dari perspektif peniaga pula, ungkapan itu bukan sekadar tanggungjawab untuk menghasilkan produk atau memberikan perkhidmatan terbaik tetapi ia juga perlu difahami sebagai satu amaran ‘awas pada kuasa pembeli!’.

Hakikat itu diperkasakan dengan kuasa media sosial hari ini yang mampu melonjak dan meruntuhkan sesebuah perniagaan hanya beberapa klik di hujung jari.

Dalam memperkatakan isu pemilihan produk keluaran Muslim oleh pengguna Islam di negara ini, tidak wajar kita melihat tindakan itu sebagai kempen memboikot barangan bukan Islam kerana ia bukanlah sesuatu yang baru bermula semalam tetapi sudah lama bahkan menjadi sebahagian daripada tuntutan agama (mencari yang halal).

Sebaliknya ia perlu dilihat dari perspektif lebih luas. Ia mungkin boleh dilihat sebagai ‘jihad ekonomi’ pada yang menyokong produk keluaran umat Islam untuk menyingkirkan keraguan pada status halal, kesucian dan sebagainya.

Sifirnya mudah sahaja. Untuk mendapatkan makanan yang diyakini halal misalnya, kita tidak akan memilih produk keluaran bukan Islam jika mempunyai pilihan mendapatkan produk yang lebih diyakini.

Namun persepsi negatif terhadap fenomena BMF tidak mengejutkan malah nyata sekali ia sengaja diperbesar-besar seolah-olah telah tercetus satu ‘peperangan’ antara produk muslim dengan bukan muslim.

Apa nak pelik jika isu semudah kewajiban umat Islam mendapatkan produk halal pun tidak dapat difahami. Yang tidak halal pada mereka hanyalah anjing dan babi.

Hakikatnya, usaha tersebut wajar dilihat sebagai toleransi umat Islam dalam membantu usahawan Islam yang masih lagi minoriti dalam menghadapi persaingan dalam perniagaan di negara ini.

Apa pun pada penulis, pilihan untuk membeli sesuatu produk adalah keputusan dan hak mutlak seseorang individu sebagai pengguna.

Tidak kira produk itu keluaran muslim atau tidak, selagi ia mematuhi dan menghormati hak-hak pengguna, tiada masalah untuk membelinya. Lagipun bukan semua produk dihasilkan oleh peniaga Islam.

Cuma jika diberikan pilihan, penulis akan memilih secara terperinci. Bukan sahaja produk, bahkan pasar raya mana yang menawarkan harga terbaik juga diambil kira. Tapi ia tidak akan sesekali mengetepikan prinsip halal dan sokongan pada produk Islam seperti diperkatakan tadi.

Selain itu sebagai pengguna, kita juga mempunyai banyak pertimbangan tersendiri. Misalnya, jika diberi pilihan antara produk keluaran syarikat yang wujud atas dasar keuntungan semata-mata dengan yang dikeluarkan syarikat yang aktif dalam khidmat sosial dan pemeliharaan alam sekitar, sudah pasti mudah jawapannya.

Bagaimanapun, setiap daripada kita mempunyai seribu satu satu alasan untuk tidak membeli sesuatu produk, perkhidmatan atau premis perniagaan.

Lihat sahaja syarikat-syarikat yang tidak pernah menghormati keperluan pengiktirafan halal oleh umat Islam apabila ada restoran tidak pernah peduli untuk memohon sijil halal.

Bagaimanapun mula tunduk apabila pelanggan mula beralih kepada jenama-jenama baharu pesaing.

Kuasa memilih adalah tempelak senyap yang kita berikan kepada syarikat yang tidak menghormati hak-hak pengguna.

Dalam konteks kempen mengutamakan produk Muslim, rasanya ia bukan satu peperangan yang perlu dihebohkan kerana ia telah lama berlaku. Dan ia langsung tidak wajar dilihat sebagai kebencian. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here