
CYBERJAYA 27 Nov. – Mengidam tengok Nissan GT-R Nismo tetapi tidak mampu memilikinya, kini anda tidak perlu kempunan lagi kerana Lego akan mengeluarkan model kenderaan popular tersebut.
Malah, ini juga merupakan kerjasama pertama antara Lego dengan pengeluar kenderaan Jepun itu yang dijangka berada dalam pasaran global menjelang Januari 2020.
Set itu juga dianggarkan 25 peratus lebih besar berbanding tahun sebelumnya dengan melibatkan 298 bahagian.
Menurut Naib Presiden Eksekutif Nissan, Asako Hoshino, kedua-dua jenama iaitu Lego dan Nissan GT-R mempunyai kelompok peminatnya tersendiri merentasi pelbagai peringkat umur di seluruh dunia.
“Pastinya ini akan mengimbas kembali zaman kanak-kanak bagi pelanggan Nissan terutama ketika mereka membina kereta mainan Lego. Dengan kerjasama ini juga, setiap orang boleh menjadi ‘takumi’, iaitu jurubina khas yang membina GT-R.
“Kami juga melihatnya sesuatu yang amat istimewa sempena sambutan ke-50 GT-R tahun ini, dan kami mahu kongsikannya dengan semua pelanggan Nissan dan Lego dari seluruh dunia,” katanya. – MT