Masalah mental, lelaki lebih cenderung sembunyikan

0
343

Kes Kesihatan mental dalam kalangan lelaki adalah tinggi tetapi kerap tidak dikesan kerana tidak menunjukkan simptom atau tanda kepada masyarakat berbanding wanita.

Pengurusan kesihatan mental lelaki memerlukan pendekatan sensitif-jantina yang membantu golongan itu untuk berfikiran lebih terbuka.

Selain daripada itu, cabaran terbesar adalah stigma masyarakat berhubung stereotaip negatif kepada individu dengan masalah mental dan dikaitkan dengan ‘gila’.

Stigma ini menjadikan individu ini disisihkan kerana berbeza.

Stigma itu juga memberi kesan kepada lelaki untuk mencari bantuan kesihatan mental kerana ketahanan mental yang tinggi berbanding wanita dan imej maskulin.

Lelaki lebih cenderung untuk menyendiri dan tidak berkongsi lalu melepaskan rasa atau kesedihan mereka melalui perkara lain seperti melakukan keganasan,mengambil alkohol, dadah atau membunuh diri.

Mengenai kadar bunuh diri, mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) , lebih daripada 800,000 individu membunuh diri setiap tahun atau kira-kira satu nyawa setiap 40 saat.

Ia menjadi punca utama kematian dalam kalangan mereka yang berusia antara 15 sehingga 29 tahun.

Lebih ramai lelaki yang membunuh diri berbanding wanita tetapi lebih ramai wanita yang membuat cubaan untuk membunuh diri atau mencederakan diri.

Ia adalah satu kadar yang amat membimbangkan. Dahulunya ramai beranggapan bahawa hanya orang dewasa yang menunjukkan kecenderungan untuk membunuh diri tetapi hakikatnya pada masa kini, kian ramai kanak-kanak dan remaja yang berisiko disebabkan oleh keganasan, penderaan seksual dan buli.

Ini termasuklah kes yang melibatkan buli secara dalam talian (cyberbully) dalam media sosial yang kian berleluasa.

Kejadian bunuh diri ialah suatu perkara yang boleh dicegah. Mereka yang berisiko boleh dikenal pasti serta diberikan intervensi awal.

Tanggungjawab untuk pencegahan bunuh diri bukan hanya terletak kepada badan atau perkhidmatan kesihatan mental sahaja, tetapi juga pada organisasi lain termasuklah sekolah, universiti, badan professional serta masyarakat setempat.

Justeru penting untuk memberi maklumat yang tepat tentang saluran untuk mereka mendapatkan bantuan seperti talian Befrienders serta perkhidmatan kesihatan yang berdekatan.

Setiap individu boleh memainkan peranan dalam membantu. Lebih banyak mendengar, elakkan melabel mereka yang mengalami masalah sebagai lemah atau kurang iman serta sentiasa memberikan sokongan kepada yang memerlukan.

Cuba untuk fahami bahawa semua orang mempunyai perjalanan hidup yang berbeza dan jika kita meletakkan diri kita di tempat mereka, maka mungkin kita lebih dapat memahami apa yang dialami. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here