
Minggu ini ialah minggu kedua cuti persekolahan. Bagi murid serta pelajar terutamanya, kehadiran cuti sekolah pada akhir tahun selama lebih sebulan ini merupakan waktu yang amat dinanti-nantikan.
Pastinya pelbagai aktiviti dirancang sebelum cuti persekolahan bermula lagi.
Bagi ibu bapa yang masih tidak merancang aktiviti bersama anak-anak hujung minggu ini bolehlah ke Karnival Jom Kembali ke Sekolah anjuran Malakat Mall, Cyberjaya.

Karnival selama dua hari itu bermula pada 7 Disember ini bermula pukul 10 pagi hingga 5 petang di Malakat Mall.
Lebih 20 usahawan menawarkan jualan buku, alat tulis, beg, kasut dan pakaian sekolah dengan harga sangat murah sebagai persediaan menjelang sesi persekolahan 2020.
Khusus buat ibu bapa yang gemar melakukan persiapan awal membeli barangan sekolah, inilah masa paling sesuai untuk menikmati penjimatan.

Menariknya, terdapat lebih 20 gerai menjual pelbagai minuman dan makanan yang enak.
Lebih istimewa, terdapat persembahan badut sebagai hiburan. Selain menjual kelengkapan sekolah, terdapat jualan busana Muslimah seperti jubah, telekung dan lain-lain.
Menurut Pengurus Malakat Mall, Farah Hazwani Amir Hashim, bagi membantu usahawan terlibat, Malakat Mall tidak mengenakan bayaran sewa sebaliknya hanya 10 peratus daripada hasil jualan (revenue sharing) dikenakan.

“Aktiviti ini sekali gus membantu usahawan yang mungkin kekurangan modal untuk berniaga. Tiada bayaran sewa gerai dikenakan. Contohnya, hasil jualan mereka RM1,000 untuk dua hari, mereka hanya membayar pihak kami sebanyak RM100 sepanjang tempoh tu.
“Justeru kami berharap penduduk sekitar Cyberjaya dan Putrajaya hadir memeriahkan karnival itu. Sambil membeli-belah, pengunjung dapat membantu usahawan bumiputera dan membawa keluarga menyertai pelbagai aktiviti kami,” jelasnya.
Sebarang maklumat lanjut mengenai karnival ini menghubungi Farah di talian 016-3914425. – MT