TIADA seorang manusia akan bebas daripada masalah hatta sekali pun nabi dan barisan rasul sendiri juga dilanda ujian bagi menguji tahap keimanan masing-masing kepada Allah.
Itulah lumrah bagi manusia selaku khalifah di muka bumi ini yang tidak lengkang daripada ujian dan masalah.
Gembira juga merupakan salah satu ujian kerana barang kali selepas kita bersuka ria, mungkin satu hari nanti kita berdepan saat duka kesedihan pula.
Kehidupan manusia sebenarnya seperti kitaran roda, kadang-kala kita di atas namun kadang-kala pula kita di bawah. Oleh itu jangan mendabik dada seolah-olah sentiasa di atas kerana satu hari nanti, kita ada di bawah.
Hal ini pernah ditegaskan oleh Allah dalam Surah al-Ankabut, ayat 2-3 yang bermaksud:
“Dan demi sesungguhnya! Kami menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahui-Nya mengenai orang-orang yang berdusta.”
Ayat ini menyimpulkan bahawa ujian itu bagi menguji tahap keimanan kita sama ada benar-benar mengakui ketauhidan atau sebaliknya.
Jika tidak, maka hati ini akan menyalahkan takdir dan malah diri sendiri. Perkara ini menyebabkan kadang-kala berlaku kejadian tekanan peranan dan akhirnya mengambil tindakan bunuh diri kerana tidak mampu menanggung masalah.
Tatkala ujian melanda, marilah kita bermunajat dan bermuhasabah kepada Allah dengan merenung kembali dosa-dosa lalu.
Akhir sekali marilah seketika merenung kembali satu lagi firman Allah yang bermaksud:
“Kalau kita beriman kepada Allah SWT, maka Allah beri dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.” (Surah at-Talaaq, ayat 3)
Marilah kita mengambil wuduk dan solat sunat taubat serta membaca surah al-Mulk sebelum melelapkan mata kerana mungkin esok kita tidak bernyawa lagi dan berhadapan soal jawab malaikat di alam kubur. Allahuallam…-MT