
REVOLUSI pertama dunia fotografi moden bermula dengan penghasilan kamera kanta reflek tunggal digital atau DSLR yang menyaksikan ‘berkuburnya’ penggunaan kamera filem.
Era digital kemudian menerima anjakan melalui pengenalan kamera GoPro sekitar tahun 2004 yang dicipta khusus untuk merakam aksi-aksi lasak termasuk fungsi kalis air.
Kamera sebesar kotak cincin itu mencipta revolusi besar yang mengubah gaya penggunaan kamera dan memungkinkan rakaman dari sudut-sudut yang sebelum ini mustahil dilakukan.
Kehebatan GoPro dengan hasil gambar dan video berkualiti tinggi tidak dinafikan menjadikannya fenomena baharu apatah lagi tanpa saingan daripada peranti lain yang setanding.

Pasaran kamera mini berprestasi tinggi pada Januari lalu menerima saingan baharu melalui pelancaran produk keluaran DJI iaitu Osmo Pocket.
Seperti GoPro, Osmo Pocket menerima sambutan luar biasa sejak dari hari pertama diperkenalkan sehingga kesuntukan stok di pasaran. Diharapkan ulasan ini masih belum terlewat untuk mereka masih berkira-kira untuk mendapatkan sebuah kamera video yang baik.
Bagaimanapun dalam ulasan ini penulis tidak berhajat membuat perbandingan dengan GoPro kerana Osmo Pocket tidak dicipta sebagai kamera aksi tetapi lebih kepada kamera dengan penstabilan rakaman video.
Seperti namanya, kelebihan Osmo Pocket terletak pada saiz kecil yang muat dengan selesa dalam apa juga saiz poket.
Walaupun kecil, kualiti gambar pegun beresolusi 12 megapiksel dan rakaman video 4K yang dihasilkan boleh dibanggakan.
Kemampuan auto-fokusnya jua tidak mengecewakan kecuali agak lemah pada kawalan dedahan cahaya dalam persekitaran berlatar belakang terang (backlight). Jika ada kekurangan terbesar, inilah yang paling ketara untuk dikesali.
Memiliki Osmo Pocket yang lahir daripada teknologi dron DJI ternyata keputusan berbaloi. Keterujaan memiliki kamera ini tidak lain tidak bukan adalah pada fungsi penstabilan gimbal yang menghasilkan rakaman tanpa goyang.
Kelebihan gimbal dengan tiga paksi (3 axis) membolehkan rakaman bergerak divariasikan dengan pelbagai gaya.
Fungsi yang selama ini hanya boleh dilakukan dengan bantuan kelengkapan tambahan seperti kren, dolly dan rig.
Cuma keserasian tangan ketika memegang kamera bersaiz kecil seberat 100 gram ini pastinya tidak memberi keserasian yang optimum.
Namun melihat hasilnya, ia tetap ‘menang membeli dan menang memakai’.
Fungsi gimbal pada kamera sebesar sosej ini dimaksimumkan lagi dengan mode timelapse, motionlapse, hyperlapse dan gerak perlahan.
Kawalan fokusnya juga tidak mengecewakan kerana jarang tersasar kepada subjek yang tidak relevan selain penentuan titik fokus yang dipermudah dengan skrin sentuh.
Keselesaan rakaman diyakinkan lagi dengan fungsi ‘Follow Mode’ yang cukup berkesan untuk menjejak subjek bergerak.
Fungsi ini boleh dikatakan antara kegemaran video blogger yang membolehkan rakaman diri sendiri dilakukan dengan mudah.
Walaupun rakaman pada siang hari menghasilkan kualiti yang cukup baik, kemunculan noise atau grain dalam kurang pencahayaan boleh dikatakan agak ketara namun masih tidak mengecewakan.
Osmo Pocket dijana bateri berkuasa 875 mAh dan mampu merakam video (1080p) sehingga 140 minit dan lebih sejam rakaman 4K. Untuk kerja lebih masa, kuasa bateri boleh ditambah melalui fungsi caj mudah alih menggunakan powerbank (memerlukan penggunaan braket tapak khas).
Produk ini didatangkan dengan komunikasi telefon pintar menggunakan penghubung ios dan type C Android.
Bagaimanapun selepas beberapa minggu menguji,
penyambungan pada telefon pintar tidak dapat dinafikan amat tidak stabil. Kelemahan ini diharap dapat diatasi oleh DJI pada produk pengganti seterusnya.
Selain kepuasan pada output yang dihasilkan, Osmo Pocket juga dipakejkan dengan aplikasi DJI MIMO yang membolehkan pemindahan fail rakaman dan penyuntingan video dilakukan dengan mudah.
Fungsi memenangkan mereka yang gemar membuat kandungan media sosial seperti Instagram, Facebook dan untuk kegunaan kewartawanan mobil (MoJo).
Secara keseluruhan, Osmo Pocket menang dalam pelbagai aspek terutama memperkatakan kelebihan fungsi gimbal dan kualiti output yang dihasilkan. Saya bagi 9/10 bintang untuk peranti poket ini. – MT
SPESIFIKASI
Kualiti gambar : 12 megapiksel
Kualiti video : 4K (25, 30, 50, 60 fps)
Ratio : 16:9 , 4:3 , 3:2
Timer : 3,5,7 saat
Penstabilan gimbal: 3 paksi mekanikal
Mode tersedia : Timelapse, slowmotion (120fps), motionlapse
dan panoshot
Kapasiti bateri : 875 mAh