CYBERJAYA 28 Nov. – Firma pengurusan perundingan, Korn Ferry menganggarkan pertumbuhan upah sebenar bagi pekerja di Malaysia akan menyusut kepada 3.5 peratus pada tahun depan berbanding 3.6 peratus tahun ini.
Ini selepas mengambil kira 1.5 peratus kadar inflasi untuk menyelaraskan jangkaan kenaikan gaji sebanyak lima peratus.
Memetik laporan TheEdge Markets, Pemimpin Asia Pasifik Korn Ferry Bagi Amalan Ganjaran dan Faedah, Mary Chua berkata, terdapat banyak perbincangan menunjukkan kadar inflasi tidak menggambarkan kenaikan kos sara hidup di Malaysia dan kerajaan juga sedang berusaha untuk membangunkan indeks baharu yang lebih tepat untuk kos sara hidup.
“Indeks baharu ini boleh digunakan bersama dengan kadar inflasi bagi meningkatkan usaha dalam menangani kenaikan kos sara hidup dan peningkatan upah sebenar,” katanya.
Menurut beliau, di peringkat serantau, Indonesia dijangka mempunyai pertumbuhan kadar upah sebenar tertinggi pada 5.1 peratus selepas membuat pelarasan pada tiga peratus kadar inflasi.
“Bagi Singapura pula, kita akan menyaksikan peningkatan pertumbuhan upah sebenar tertinggi sebanyak 0.6 peratus, selepas mengambil kira 0.4 peratus kadar inflasi,” katanya.
Jelas Chua, pertumbuhan upah perlu selaras dengan peningkatan produktiviti, jika tidak kos tersebut akan beralih kepada pengguna sekali gus mengekalkan kenaikan kos sara hidup.
Secara global, pertumbuhan upah sebenar pada 2020 dijangka berada pada 2.1 peratus selepas membuat pelarasan unjuran 4.9 peratus dengan kadar inflasi sebanyak 2.8 peratus.
Pada 2019, pertumbuhan upah sebenar hanyalah satu peratus selepas mengambil kira inflasi global pada 4.1 peratus selaras pertumbuhan gaji sebanyak 5.1 peratus. – MT