Produktiviti suku ketiga berkembang positif

0
71

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

CYBERJAYA 2 Dis. – Di sebalik pertumbuhan ekonomi suku ketiga 2019 yang berkembang sederhana pada 4.4 peratus, Malaysia merekodkan prestasi produktiviti buruh yang positif untuk tempoh berkenaan.

Menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, produktiviti yang diukur berdasarkan nilai tambah setiap jam kerja berkembang 2.6 peratus manakala produktiviti berasaskan nilai tambah setiap individu bekerja pula tumbuh 2.3 peratus.

Bagi suku itu, sektor pembuatan dan perkhidmatan merekodkan pertumbuhan 2.9 peratus produktiviti bagi setiap jam kerja, iaitu pertumbuhan tertinggi dalam lima sektor utama.

“Sektor pertanian berkembang 1.8 peratus manakala pembinaan 1.6 peratus. Bagaimanapun, sektor perlombongan dan kuari susut 3.4 peratus disebabkan penyusutan nilai tambah (4.3 peratus) dan jam bekerja (1 peratus),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Untuk produktiviti berasaskan nilai tambah setiap individu bekerja pula, sektor perkhidmatan merekodkan prestasi terbaik dalam kalangan lima sektor utama dengan pertumbuhan produktiviti tertinggi iaitu 2.7 peratus.

Katanya, sektor pembinaan berkembang 2.1 peratus diikuti pertanian (2 peratus) dan pembuatan (1.6 peratus) manakala sektor perlombongan dan kuari susut 5.4 peratus disebabkan penyusutan nilai tambah sebanyak 4.3 peratus,” katanya.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, pihaknya menerusi Perbadanan Produktiviti Malaysia sentiasa melaksanakan pelbagai inisiatif dari semasa ke semasa untuk meningkatkan produktiviti dan menambah baik persekitaran menjalankan perniagaan.

Antara program dilaksanakan termasuklah e-Productivity Gain Measurement (e-PGM), LEAN Management, Team Excellence dan Productivity-Linked Wage System (PLWS) yang diperkenalkan untuk menggalakkan pertumbuhan syarikat tempatan. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here