Revolusi ergonomik Canon pada EOS R

0
138

Oleh ABD. HALIM HADI

TAHUN lalu Canon memperkenalkan kamera bingkai penuh mirrorless pertamanya, EOS R yang mencetuskan ‘drama’ dalam kalangan peminat dan juga pengkritik.

Penulis tidak mahu memperkatakan secara terperinci mengenai kelebihan dan kekurangan spesifikasi kamera ini kerana telah banyak diperkatakan di alam siber.

Namun kesempatan menguji EOS R baru-baru ini memberi pengalaman baharu khususnya melalui beberapa teknologi
yang merevolusi cara pengguna merakam gambar dan video.

Revolusi terbesar adalah bar sesentuh pelbagai fungsi yang memperkenalkan kaedah kawalan lebih mudah dengan geseran ibu jari ke kiri dan ke kanan tanpa lagi perlu menekan butang.

Panel atau bar yang boleh diubah fungsi dan tetapannya mengikut kehendak pengguna ini adalah yang pertama pada kamera dan dijangka menjadi trend masa depan.

Ia bukan sahaja mirip cara kebiasaan kita menggunakan telefon pintar tetapi ia direka untuk menyediakan ‘jalan pintas’ kepada

fungsi-fungsi kritikal. Penyelidikan Canon pada bar multi fungsi ini pada penulis menjadi bonus terbesar faktor ergonomik EOS R.

Revolusi kedua adalah fungsi kawalan gegelang (Control Ring) pada hujung lensa RF yang membolehkan kawalan dedahan dilakukan dengan mudah.

Untuk tujuan itu, beberapa fungsi yang selama ini memerlukan beberapa langkah menekan butang ‘dipintas’ dengan memusingkan gegelang pada lensa.

Seperti juga kawalan fungsi pada panel bar multi fungsi, kawasal gegelang lensa ini juga boleh ditetapkan untuk fungsi aperture, shutter speed, ISO dan exposure compensation (-/+EV).

Adaptasi fungsi pada gegelang lensa ini sebenarnya sudah lama berada pada lensa kamera Fujifilm (kawalan aperture sahaja) namun Canon tampil lebih bergaya dengan keupayaan boleh ‘kustom’.

Bagi pengguna yang bermigrasi daripada sistem lensa EF kepada EOS R, fungsi yang sama boleh diperolehi dengan penggunaan
Adapter Control Ring yang dijual berasingan.

Dari segi keselesaan memegang, EOS R pada penulis berjaya mengalahkan semua kamera mirrorless lain melalui sudut pautan lebih dalam yang memberi cengkaman lebih stabil. Fakor ergonomik EOS R diperhebatkan lagi dengan paparan viewfinder elektronik (EVF) yang jelas dan responsif, bahkan tiada lagi isu ‘lag’ seperti yang ada model-model mirrorless Canon terdahulu.

Revolusi seterusnya adalah ketajaman lensa sistem baharu RF yang menggantikan EF dan EF-S. Bukan sahaja secara optikal, kecekapan lensa baharu ini dikatakan terletak pada pengurangan jarak antara lensa dengan sensor kamera yang selama ini menempatkan ruang untuk cermin refleksi.

Perubahan jarak dan juga saiz bukaan mount (54mm) pada EOS R yang kini menyamai saiz kamera bingkai penuh itu direka untuk meningkat jumlah kemasukan cahaya sekali gus menjadikan komunikasi antara kamera dengan lensa lebih pantas.

Dari dalam badan kamera pula, kehebatan penghasilan imej diperincikan dengan 5,600 titik fokus yang menjadikan pengesanan subjek berkali ganda lebih cekap daripada teknologi terdahulu.

Selain faktor ergonomik dan ketrampilan lensa baharu, kepuasan paling dirasai penulis sepanjang menggunakan kamera ini adalah kecekapan auto fokus yang jauh dipertingkatkan.

Menurut Canon, teknologi dual pixel autofokus pada model ini dijana oleh 40 kali ganda kuasa memproses yang ada pada Canon 5D Mark IV.

SPESIFIKASI
30.3 megapiksel
Sensor bingkai penuh CMOS DIGIC 8
ISO maksimum 40,000
8 bingkai sesaat
Ketahanan bateri : 360 rakaman gambar

KEKURANGAN
-Tiada pengstabilan dalam badan
-Pemangkasan format pada 4K video
-Hanya satu slot memori
-Tiada joystick

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here