Sajian sihat dalam mangkuk

0
182

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH

USAHA menjaga kesihatan pada zaman sekarang menjadi semakin sukar berbanding dahulu disebabkan kesibukan kerja dan gaya pemakanan tidak sihat.

Walaupun amalan hidup aktif mula diperkenalkan dengan pelbagai jenis senaman dan diet, ia kurang menampakkan hasil apabila hampir separuh penduduk Malaysia masih mempunyai berat badan berlebihan, dengan kadar obesiti meningkat 300 peratus dalam masa hanya dua tahun.

Ini dirumitkan lagi dengan tanggapan makanan sihat membosankan atau tidak sedap. Lebih-lebih lagi apabila golongan muda kerap memilih makanan berdasarkan rupa yang menarik atau diukur hanya menerusi paparan Instagram.

Antara makanan sihat yang mula diperkenalkan tahun ini dan dijangka menjadi trend 2020, adalah poke bowl (mangkuk poke) iaitu satu konsep dari Hawaii yang merujuk kepada gabungan ramuan protein dan serat bersama perasa organik sihat.

Poke (disebut po-keh), bermaksud ‘hiris atau potong’ dalam bahasa Hawaii merujuk kepada potongan isi ikan mentah seperti tuna dan salmon yang diperap, kemudian diletakkan di atas nasi (soba) atau quinoa dengan taburan sayur dan sos umami di atasnya.

Ia mula diperkenalkan oleh nelayan yang memotong hasil sisa tangkapan seperti ikan menjadi potongan kecil dan memakannya bersama sayur di atas kapal. Lama-kelamaan ia menjadi budaya masyarakat Hawaii dan diambil sebagai menu sihat di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Bagi mereka yang mencari makanan sihat, bolehlah singgah ke restoran Kubis & Kale yang terletak di Bandar Sunway, Selangor.

Sajian poke bowl sememangnya disediakan untuk generasi baharu, khususnya pengguna media sosial yang mementingkan ‘penampilan’ makanan, rekaan dan warna memikat.

Walaupun poke bowl mengikut trend pemakanan dunia, ia tetap berpaksi kepada beberapa fakta iaitu menyajikan makanan mentah segar dan vegetarian (sayur-sayuran) seperti yang disarankan pakar pemakanan.

Setiap hidangan menggunakan lebih banyak makanan segar, sejuk dan diperap khususnya salmon, tuna dan ayam.

Ia disediakan dengan pilihan sos sayur-sayuran yang dihasilkan sendiri seperti mangga, manakala golongan vegetarian pula tidak perlu bimbang kerana terdapat banyak pilihan protein disediakan.

Dalam pada itu, falsafah dalam penyediaan poke bowl ini ialah memberi penekanan kepada pilihan apa dimakan, sumber dan cara penyediaannya dengan tatacara serta nasihat daripada pakar diet, Indra Balaratnam.

Lebih penting pengguna tidak perlu bimbang kerana hidangan poke bowl menggunakan sayuran karbon yang dibekalkan pakar perladangan karbon janaan semula bandar dan pertanian iaitu perintis tumbuhan karbon pertama di Malaysia.

Jadi, sayur-sayuran yang dibekalkan bersih dan selamat tanpa bahan kimia.

Dalam kehidupan moden kini, masing-masing sibuk dan sukar untuk mengambil makanan sihat. Poke bowl adalah jawapannya kerana ia menawarkan peluang mencampur dan memadankan pelbagai bahan seperti protein pejal, kacang, sayuran warna-warni, kekacang, bijian dan bijirin untuk membentuk kombinasi makanan yang memenuhi keperluan tubuh individu.

Ini kerana sajian yang menyenangkan, sepatutnya mengandungi kebanyakan nutrien diperlukan, mudah dimakan dan kesemuanya dalam satu mangkuk dengan sukatan yang betul. – #malakattribune

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here