
RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
Pendidikan swasta di Malaysia bermula sejak 1950-an, terutama sebagai laluan kepada pelajar yang tidak dapat meneruskan pengajian di sekolah-sekolah kerajaan bagi memperolehi sijil-sijil asas mereka.
Pada awal 1970-an terdapat anjakan terhadap peranan dan fungsi sistem pendidikan swasta di mana pengusaha pendidikan swasta mula mementingkan kursus-kursus prauniversiti.
Kini sekolah swasta semakin mendapat tempat dalam kalangan ibu-bapa yang mahukan pendidikan berkualiti kepada anak-anak mereka dengan menghantar anak ke sekolah swasta berbanding sekolah kerajaan.
Pemilihan sekolah swasta ini sangat popular dalam kalangan masyarakat Cina dan Melayu yang mahukan pendidikan berkualiti berbanding dengan sekolah kerajaan.
Konsep sekolah swasta ini menawarkan pendidikan dari peringkat prasekolah, sekolah rendah hinggalah ke peringkat sekolah menengah swasta.
Sekolah ini tidak mendapat peruntukan daripada kerajaan tetapi perlu mematuhi Kurikulum Kebangsaan.
Sekolah swasta perlu memastikan pelajar mempelajari mata pelajaran seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris serta Pengajian Malaysia sebagai subjek tambahan untuk pendidikan lepas menengah mengikut daripada Akta Pendidikan 1996.
Sekolah swasta ini juga perlu didaftarkan dibawah Kementerian Pendidikan dan mempunyai beberapa jenis sekolah seperti sekolah rendah dan menengah swasta, sekolah rendah dan menengah agama swasta, sekolah persendirian Cina dan sekolah antarabangsa.
Kebanyakan sekolah swasta ini mendapat peruntukan daripada institusi luar seperti syarikat swasta untuk menanggung pengurusan dan pembelajaran di sekolah tersebut kerana mereka tidak menerima peruntukan daripada kerajaan.
Sebab itulah sekolah swasta mengenakan yuran kerana unsur keuntungan juga menjadi sebahagian daripada matlamat mereka.
Di samping itu, kebanyakan sekolah swasta mempunyai infrastruktur moden dan terkini seperti bilik darjah, makmal sains, makmal komputer dan pusat sumber. Mereka juga menggunakan hak autonomi seperti kebebasan untuk melantik kakitangan, pengurusan kewangan, silibus dan dasar dalaman bagi menyediakan pendidikan terbaik kepada pelajar mereka.
Sekolah swasta mempunyai fasiliti moden dan terkini berbanding sekolah kerajaan
Walaupun sekolah swasta ini sering dianggap sebagai ‘sekolah untuk anak orang kaya’ oleh segelintir pihak, ia tidak menghalang ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah swasta.
Faktor utama mereka adalah kualiti pendidikan yang lebih baik walaupun terpaksa membayar yuran tinggi. Tetapi tidak semua sekolah swasta mengenakan caj yuran tinggi kerana sekolah swasta aliran agama masih mempunyai caj yuran munasabah dan tidak terlalu tinggi berbanding sekolah swasta konvensional.
Justeru, terpulang kepada ibu bapa untuk menilai sekolah mana yang menjadi pilihan mereka menghantar anak-anak mereka bagi mendapat pelajaran terbaik.
Sistem pembelajaran kedua-dua sekolah juga telah melahirkan ramai golongan profesional seperti doktor, peguam dan lain-lain lagi.
Yang penting adalah negara ini dapat melahirkan lebih ramai anak-anak muda berkebolehan menjadi pemimpin pada masa akan datang.
Antara sekolah swasta yang kian mendapat sambutan ialah Brainy Bunch International Islamic Montessori yang ditubuhkan pada 2010 dan mempunyai 104 cawangan di Malaysia, empat di Singapura, dua di Indonesia dan sebuah di Gaza, Palestin.
Terbaharu, sebuah lagi kampus Brainy Bunch International School akan mula beroperasi mulai tahun hadapan di Taman Melawati, Kuala Lumpur.
Perkara itu dimaklumkan Pengasas Kumpulan Pendidikan Brainy Bunch, Mohd. Fadzil Hashim.
Ia menawarkan konsep pendidikan Montessori Islam dengan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.
Selain di Kampus Raudhah City, Cyberjaya, Brainy Bunch International School juga telah beroperasi di Johor Bahru menjadikan Kuala Lumpur sebagai kampus ketiga. – MT