Siapa pemegang taruh ekonomi

0
340

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

Kita sering mempersoalkan tentang ketidaksamarataan, bagaimana yang miskin terus miskin, yang kaya terus kaya.

Begitu juga ketidaksamarataan jantina. Peluang untuk wanita bergerak ke hadapan dalam sesebuah organisasi juga sukar, walaupun wanita turut memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi negara.

Ketidaksamarataan ini berlaku di mana-mana jua dan tanpa kita sedar ia berlegar-legar dalam kehidupan semua orang sebaik sahaja jendela mata melihat dunia.

Dalam konteks yang lebih luas, akhirnya ia mewujudkan ketidakseimbangan dalam ekonomi hingga jurangnya semakin lebar.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam laporan suku tahun 2018 bertajuk Perbezaan Antara Prestasi Ekonomi Dengan Sentimen Orang Ramai menunjukkan pendapatan tidak sekata merupakan antara faktor utama mengapa rakyat tidak boleh merasai kesejahteraan hidup walaupun pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah tinggi.

Pada 2018, KDNK tumbuh 4.7 peratus berbanding 5.9 peratus pada tahun sebelumnya. Untuk tiga suku tahun ini, ekonomi negara berkembang pada 4.6 peratus.

Menurut laporan BNM itu, pada 2016, bilangan isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM5,000 adalah lebih dua kali ganda berbanding bilangan isi rumah yang berpendapatan RM10,000.

Ini sekali gus menunjukkan wujudnya pekerjaan dan upah yang tidak sekata merentasi tahap kemahiran yang berbeza.

Dalam laporan itu juga, BNM menggariskan empat lagi faktor utama yang menyebabkan keadaan tersebut berlaku iaitu peningkatan kos sara hidup, kemampuan rakyat memiliki rumah, hutang isi rumah yang tinggi dan persepsi tentang rasuah yang melemahkan kepercayaan dalam kalangan isi rumah dan perniagaan.

Namun, di sebalik semua ini, adakah kita akan terus membiarkan jurang ini semakin jauh?

Secara dasarnya, bagaimana ekonomi kita bergerak, kitalah yang menentukan acuannya walaupun tidak boleh menafikan faktor-faktor luaran dan domestik terutama penyusutan nilai ringgit, impak perangan dagangan Amerika Syarikat (AS)-China dan tekanan geopolitik di peringkat global.

Mungkin sudah tiba masanya pemegang taruh (iaitu diri kita sendiri) membuat perubahan kepada landskap ekonomi negara.

Apatah lagi jika kita memperkatakan tentang ekonomi Islam, inilah asas yang perlu kita gerakkan supaya peluang ekonomi dapat diraih dengan sekata.

Bukan melihat kepada keuntungan berlipat kali ganda tetapi bagaimana ia boleh membantu mewujudkan cabang perniagaan baharu sekali gus membantu golongan bawahan menikmati kehidupan lebih baik.

Buat apa berbangga memandu kereta mewah sedangkan ada insan tidak mampu membeli walau sebuku roti. Inikah sistem ekonomi yang kita mahukan, yang kaya terus bertakhta dan miskin terus tertindas. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here