Silat bentuk sikap positif

0
329
Siti Hajar bersama Syifa Qaisarah (kiri).

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH

SILAT antara seni mempertahankan diri popular di seluruh dunia. Gerak langkah dalam seni bela diri itu juga antara kaedah terbaik untuk remaja membina kecergasan, disiplin diri dan kemahiran sosial.

Jika dilihat dari perspektif yang positif ia lebih memberi manfaat berbanding memberi kesan buruk atau negatif.

Malah pendedahan kepada seni bela diri mampu menjadi benteng pertahanan di saat anak remaja khususnya perempuan apabila berdepan situasi kecemasan mahupun bahaya.

Tambahan pula, persekitaran yang semakin mencabar buat kanak-kanak dan remaja menjadikan golongan itu sasaran mudah bagi jenayah.

Kini boleh dikatakan saban hari kita dihidangkan dengan berita menakutkan, kes penculikan, rogol dan banyak lagi kejadian tidak diingini.

Justeru, sudah tiba masanya anak-anak kita diberi didikan dengan lebih mendalam dalam soal keselamatan dan antara langkah yang boleh dilakukan ialah membuka peluang mereka mengenali seni mempertahankan diri dan mengikuti kelasnya hingga mahir.

Walaupun ia bukan jaminan anak kita akan terselamat daripada jenayah, setidak-tidaknya mereka diberikan asas untuk mempertahankan diri, sekali gus mengelakkan mereka terus menjadi sasaran pemangsa.

Banyak kelebihan dan manfaat diperoleh daripada pembabitan dalam aktiviti ini. Selain dijadikan sebagai satu bentuk senaman, ramai ibu bapa menyedari peningkatan jati diri dan disiplin anak remaja mereka.

Bagi Siti Hajar Mahmud, 43, dia menghantar anaknya, Syifa Qaisarah Mohd. Sham, 11, mengikuti latihan silat kerana menyedari banyak manfaat menerusi seni bela diri itu antaranya keseimbangan antara akademik dan aktiviti kecergasan.

Katanya, meskipun masih baharu, anaknya menunjukkan minat mendalam serta bersungguh-sungguh menjalani latihan yang diadakan sekali seminggu malah anak gadisnya itu lebih bersemangat dan ceria.

“Saya mula tertarik mahu anak babitkan diri dalam seni bela diri kerana pernah terbaca satu jurnal mengenai kelebihan aktiviti kecergasan terutama sukan ini dengan aktiviti otak kita. Seni mempertahankan diri mampu merangsang kesan positif pada aliran otak dan secara tidak langsung membantu sedikit sebanyak keseimbangan fizikal dan mental.

“Lagipun sekarang ini banyak kes membabitkan kanak-kanak dengan penculikan, cubaan memperkosa dan banyak lagi kejadian tak diingini. Jadi, saya rasakan aktiviti seni mempertahankan diri sebagai langkah pertahanan diri sekiranya berdepan unsur jenayah seperti itu.

“Asas mengelakkan dan mempertahankan diri adalah satu bentuk kemahiran yang patut ada pada semua kanak-kanak hari ini, lebih-lebih bagi anak perempuan seperti Syifa Qaisarah,” katanya.

Menurutnya, Syifa Qaisarah kini lebih faham kenapa perlunya belajar seni mempertahankan diri dan sudah pasti bukan untuk disalahgunakan, tetapi sebagai satu kemahiran untuk menjaga keselamatan dirinya apabila berdepan situasi tidak diingini.

Katanya, meskipun masih terlalu awal untuk melihat dari aspek peningkatan disiplin, memang itu diharapkan agar anaknya itu lebih berdisiplin, menepati masa dan menghormati orang lain.

Menurut Siti Hajar, guru sekolah yang menguruskan aktiviti ini sentiasa mengemaskini jadual latihan anak-anak malah mereka turut berkomunikasi menerusi kumpulan WhatsApp agar lebih mudah berhubung dengan guru penyelaras.

Memandangkan jadual latihan seminggu sekali katanya, ia tidak mengganggu jadual waktu sekolah, manakala malam sebelum sesi latihan dia akan memastikan anaknya tidur awal.

“Seni mempertahankan diri seperti silat pada saya sangat halus, setiap pergerakan penuh makna tersendiri. Seni ini melambangkan nilai budaya dan seni yang tinggi masyarakat Melayu.

“Dalam kelembutan seni dan pergerakannya, ada pergerakan untuk mempertahankan diri. Kita tahu setiap seni mempertahankan diri ada kelebihan dan kelemahannya maka terpulang pada ibu bapa membuat keputusan dalam memastikan anak mempunyai keseimbangan antara akademi dan aktiviti sukan,” katanya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here