Tabung Haji rekod pendapatan suku ketiga RM900 juta

0
84

CYBERJAYA 28 Nov. – Lembaga Tabung Haji mencatat prestasi dan kedudukan kewangan yang semakin baik bagi suku ketiga dan sembilan bulan pertama 2019, dipacu oleh strategi pelaburan yang mapan serta langkah pengurusan kos secara berhemah.

Bagi suku ketiga 2019, Tabung Haji berjaya memperoleh pendapatan berjumlah RM900 juta menjadikan pendapatan bagi tempoh sembilan bulan pertama 2019 meningkat kepada RM2.1 bilion.

Pendapatan ini dijana terutama daripada
pelaburan aset pendapatan tetap (RM1.1 bilion), pelaburan hartanah (RM400 juta), pelaburan ekuiti (RM300 juta) dan pelaburan instrumen pasaran wang Islam (RM300 juta).

Keuntungan bersih juga telah meningkat kepada RM1.3 bilion dengan suku ketiga merekodkan keuntungan sebanyak RM500 juta hasil langkah berterusan penjimatan kos pengurusan dan pentadbiran.

“Perubahan strategi pelaburan Tabung Haji kepada aset pelaburan yang lebih stabil berjaya mengurangkan tekanan daripada keadaan pasaran ekuiti yang tidak menentu akibat ketegangan perang dagangan di peringkat global,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 30 September 2019, kedudukan kewangan Tabung Haji kekal kukuh dengan jumlah aset melebihi jumlah liabiliti sebanyak RM2.3 bilion, di mana jumlah aset adalah RM73.4 bilion manakala jumlah liabiliti adalah RM71.1 bilion.

Lebihan aset tersebut didokong oleh rizab penyamaan hibah berjumlah RM400 juta dan keuntungan terkumpul berjumlah RM2 bilion yang boleh diagihkan.

Menurut Tabung Haji, kepercayaan dan sokongan para pendeposit kepada Tabung Haji sebagai sebuah institusi yang membantu umat Islam menyimpan dan melaksanakan ibadah haji kekal utuh dengan jumlah simpanan pendeposit berada pada paras RM70 bilion pada 30 September 2019.

“Sepanjang tiga bulan dalam suku ketiga 2019, lebih daripada 87,000 akaun simpanan baharu telah dibuka, seterusnya meningkatkan jumlah keseluruhan pendeposit TH kepada 9.43 juta,” katanya. MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here