Teladani Rasullullah, Hayati Sunnah

0
175

KELAHIRAN Nabi Muhammad dan perutusan baginda sebagai Rasulullah adalah bukti teragung betapa luasnya rahmat Allah SWT kepada
seluruh alam. Menerusi kerasulan baginda, Allah telah menyebarkan petunjuk dan hidayahnya kepada manusia.

Firman Allah SWT menerusi surah al-Hadid, ayat 28: Bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan tetaplah beriman kepada RasulNya (Muhammad), supaya Allah memberi kepada kamu dua bahagian dari rahmatNya, dan menjadikan bagi kamu cahaya untuk kamu berjalan dengannya (pada hari kiamat kelak), serta diampunkannya dosa kamu, dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

Demikianlah rahmah dalam perutusan baginda sebagai penutup para nabi dan rasul. Apa jua yang datang dari sisi baginda sama ada dari sudut
pegangan akidah, amalan syariat dan pedoman akhlak adalah berasaskan bimbingan wahyu ilahi yang wajib kita patuhi dan teladani.

Namun, apakah kita benar-benar menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai idola dan contoh ikutan? Adakah ahli keluarga dan masyarakat kita mengamalkan gaya hidup muslim seperti Nabi SAW dan para sahabat?

Lebih mendukacitakan, generasi masa kini hanya sekadar mengenali nama dan mendakwa mencintai Baginda SAW, tetapi tidak pula mengamalkan sunnah Baginda SAW dalam kehidupan seharian.

Jika kita tidak merasa rindu dan kasih terhadap Baginda SAW di dalam jiwa, bagaimana mungkin kita mampu mengamalkan dan memperjuangan sunnah baginda dalam kehidupan seharian. Bagaimana pula mahu mendambakan syafaat Baginda di akhirat kelak.

Ingatlah kecintaan kepada Baginda SAW bukan sekadar menzahirkan kemarahan apabila Baginda dihina atau sunnahnya dipermainkan, tetapi kecintaan sebenar adalah dengan sentiasa mengamalkan akhlak mulia dan sunnah yang telah ditunjukkan Rasulullah.

Antara contoh yang kita boleh teladani dalam kehidupan Rasulullah SAW ialah sifat rahmah dalam menyantuni ahli keluarga. Meskipun Baginda SAW berada dalam kesibukan sebagai pemimpin umat Islam, Baginda SAW tetap meletakkan keluarga sebagai keutamaan.

Baginda sentiasa membantu melaksanakan kerja-kerja rumahtangga dan sering berbincang bersama isteri-isteri baginda sebelum membuat sesuatu keputusan.

Malah Baginda bersikap lemah lembut serta sering bergurau senda, tidak mudah marah apatah lagi memukul isteri dan Baginda juga merupakan seorang bapa yang penyayang lebih-lebih lagi terhadap anak perempuan.

Demikianlah ketinggian budi pekerti Baginda SAW yang perlu kita contohi dalam kehidupan seharian. Ungkapan rahmat kepada sekalian alam
merangkumi hidayah, kebaikan dan keadilan Islam ke seluruh alam.

Setiap makhluk akan merasai kesempurnaan rahmat ini tanpa ada sesuatu pun yang tersisih daripada limpahan kasih tersebut-MT

Sumber: Khutbah Jumaat Terbitan Jakim

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here